Welcome Guest [Log In] [Register]
BARU DIBUKA! Klik butang Like dan temui ribuan pengguna laman web ini.
Tawaran Iklan Di bawah Ini Akan Tamat Pada Bila-bila Masa:


Add Reply
TABUNG BANTUAN PERUBATAN KRITIKAL; SYARAT KELAYAKAN TABUNG PENYAKIT KRONIK
Topic Started: Wed Feb 8, 2006 4:21 pm (5,327 Views)
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
BAHAN UTAMA UNTUK MEMUDAHKAN PENGGUNA MENCARI MAKLUMAT UTAMA MENGENAI CARA-CARA PERMOHONAN UNTUK MENDAPAT BANTUAN DARI TABUNG PENYAKIT KRONIK SEDANG DICARI.

BUAT SEMENTARA INI SEGALA BAHAN YANG BERKAITAN DENGAN TABUNG INI DISERTAKAN UNTUK MEMBANTU PENGGUNA.
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
[size=7]NGO: Kaji syarat kelayakan tabung penyakit kronik[/size]
Oleh: MUSTAFA KAMAL BASRI

Sumber: Utusan Malaysia (2006)

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Tiga pertubuhan bukan kerajaan hari ini mendesak kerajaan mengkaji semula syarat-syarat kelayakan Tabung Bantuan Perubatan (TBP) supaya peruntukan yang disediakan menerusi tabung itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Ketiga-tiga pertubuhan itu juga tidak mahu TBP diuar-uarkan mempunyai peruntukan berjuta ringgit tetapi realitinya rakyat menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bantuan.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu TBP menjadi tabung bantuan yang sebenar-benarnya.

Mereka tidak mahu tabung tersebut wujud pada dasarnya sahaja tetapi tidak memberi sebarang makna kepada mereka yang terdesak dan amat memerlukannya.

Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Zain berkata, fungsi TBP masih kabur sehingga ramai rakyat yang menghidap penyakit kronik tidak mendapat bantuan daripadanya.

``Walaupun sebahagian besar rakyat mempunyai pekerjaan tetap tetapi tidak semua mampu membiayai perbelanjaan perubatan bagi penyakit kronik,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek semalam bahawa mereka yang mempunyai pendapatan tetap tidak layak memohon bantuan daripada TBP.

Kenyataan Soi Lek itu bagi menjelaskan mengapa kementerian menolak permohonan seorang bapa, Mohamad Ariff Samsudin, bagi mengubati anaknya Khadijah Hanim, yang menghidap penyakit paru-paru gagal berfungsi sejak 1997.

Mohamad Ariff pula menjelaskan beliau memohon bantuan TBP kerana tidak mampu menanggung anaknya yang memerlukan rawatan berterusan, walaupun beliau berjaya mengumpulkan wang berjumlah RM3.8 juta dengan melakukan pelbagai pekerjaan.

Ahmad Shah berkata, TBP harus memberi manfaat kepada semua rakyat yang memerlukan tanpa mengira sama ada mereka mempunyai pekerjaan tetap atau tidak.

``Ada sebahagian rakyat mempunyai pekerjaan tetap tapi mereka tidak mampu membiayai kos perubatan penyakit kronik dan rawatan yang berpanjangan.

``Ramai kakitangan awam sendiri tidak mampu membiayai perubatan penyakit kronik kerana pendapatan mereka rendah,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Fomca, N. Marimuthu turut menyokong saranan Cuepacs supaya bantuan TBP terbuka kepada semua golongan rakyat.

Menurutnya, jika ada rakyat yang menghidap penyakit kronik dan tidak mempunyai pilihan lain, TBP harus membantu mereka.

Katanya, soal kelayakan seseorang pesakit kronik itu harus dilihat berdasarkan kes bukan pendapatan atau jenis pekerjaan.

``Kadangkala mereka yang dibayar gaji tetap RM4,000 sebulan pun tidak mampu membiayai kos perubatan penyakit kronik kerana mempunyai tanggungan yang besar,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kementerian Kesihatan supaya melantik pegawai kebajikan atau pegawai perubatan daerah membuat lawatan ke rumah pemohon untuk menentukan kelayakan mereka.

Katanya, pegawai kebajikan perlu meneliti lima perkara iaitu keadaan rumah pemohon, jumlah kenderaan yang dimiliki, pendapatan isi rumah, maklumat daripada jiran di samping mempercepatkan permohonan.

Marimuthu berkata, kaedah itu akan dapat mengurangkan kerenah birokrasi ke atas permohonan bantuan daripada TBP.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Maamor Osman pula menggesa kerajaan membuat kajian dari segi realiti kelayakan.

Menurutnya, kajian bagi menentukan kelayakan mendapat bantuan TBP harus berasaskan realiti kehidupan bukan dari segi standard gaji.

``Mungkin seseorang itu berpendapatan tinggi, tetapi kita juga harus melihat pula kemampuan sebenar dan tanggungan sebenar pemohon berkenaan,'' ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan boleh memperkenalkan skim skala bagi golongan yang berpendapatan tinggi dan golongan yang miskin.

Melalui skim itu, pemohon miskin layak mendapat bantuan penuh manakala pemohon berpendapatan tinggi hanya mendapat bantuan separuh daripada TBP, katanya.

``Kita tidak boleh menafikan langsung hak golongan berpendapatan tinggi yang mempunyai tanggungan besar mendapatkan bantuan daripada TBP,'' katanya.
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
[size=7]Di mana ada keperluan di situ ada bantuan [/size]
SUMBER: http://www.utusan.com.my/
TARIKH: 10/06/2002


KEMATIAN Sofea Qhairunnisa Ali yang menderita kerana tiada hempedu dan Norhaidan Che Noh yang menghidapi kanser usus sebelum sempat dibedah adalah sesuatu yang malang.

Kelewatan mendapat bantuan kewangan yang mencukupi untuk kos pembedahan dikatakan menjadi punca rawatan ke atas mereka tertangguh.

Rayuan rakyat supaya kerajaan menangani segera masalah bantuan untuk pesakit kronik ini menyebabkan Tabung Kebajikan Pesakit Kronik (TKPK) diwujudkan dengan peruntukan RM5 juta.

Apakah fungsi dan peranan sebenar TKPK ini. Bagaimanakah pesakit kronik boleh mendapat manfaat daripada tabung ini.

Wartawan MOHD. KAMIL YUSUFF dan NORZAHIZAN ISMAIL mendapatkan penjelasan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Taha Ariff mengenai tabung yang ditubuhkan awal September lepas.

Dalam pertemuan di pejabatnya di Kementerian Kesihatan Rabu lalu, beliau berkata, kementerian itu begitu telus dalam membantu pesakit kronik terutama yang kurang mampu.

Bagaimanapun, beliau berkata, masalahnya ramai pesakit terus mendapatkan rawatan di hospital swasta tanpa merujuk terlebih dahulu ke hospital kerajaan yang berupaya membantu mereka khususnya dari kos rawatan.

``Kalau datang ke hospital kerajaan, kosnya lebih murah. Selain mempunyai kepakaran, kita juga boleh membantu di mana yang perlu.

``Di mana ada keperluan, di situ ada bantuan,'' tegasnya.

MINGGUAN: Apakah sebenarnya Tabung Kebajikan Perubatan Kebangsaan (TKPK). Boleh Tan Sri jelaskan fungsi dan peranannya?

TAHA: Tabung ini diwujudkan untuk membantu pesakit-pesakit yang memerlukan, yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan terutama kes-kes kronik. Ia adalah satu tabung amanah yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan.

Bilakah sebenarnya tabung ini diwujudkan dan berapa peruntukannya.

TAHA: Tabung ini sebenarnya sudah ada sejak dua tahun lalu dengan peruntukan dari kerajaan sebanyak RM5 juta. Lebih kurang RM400,000 didermakan oleh syarikat-syarikat dan orang perseorangan.

TKPK memiliki dana sebanyak RM5,441,559 yang kini dipegang oleh Amanah Raya Berhad.

Memandangkan tabung ini telah mempunyai dana sebanyak RM5.4 juta, maka ia boleh beroperasi pada tahun ini.

Adakah ia sama dengan tabung pesakit kronik dengan peruntukan RM100 juta seperti yang diumumkan dalam Bajet 2003.

TAHA: Kita belum tengok duitnya lagi. RM100 juta yang diperuntukkan kepada pesakit kronik seperti yang diumumkan dalam Bajet 2003 adalah untuk Kementerian Kesihatan, bolehlah masuk dalam TKPK. Bagaimanapun, peruntukan itu tidak boleh diguna lagi kerana wangnya hanya akan diterima pada tahun 2003.

Apakah prosedur untuk mendapatkan bantuan daripada tabung ini.

TAHA: Sangat mudah. Jika sakit pergi sahaja hospital kerajaan, dari sana kita akan periksa dan beri nasihat. Jika tak ada duit, doktor akan beritahu pesakit ini tidak ada duit tetapi memerlukan rawatan, kita akan buat urusan seterusnya.

Yang dah terperangkap itu adalah mereka yang dah buat keputusan sendiri ke hospital swasta... tiba-tiba kena bayar berpuluh ribu, beratus-ratus ribu ringgit, itu yang jadi masalah.

Apa dokumen dan surat yang perlu disediakan oleh pesakit.

TAHA: Pesakit perlu beritahu sakit apa dan bawa dokumen sekali. Dapatkan laporan perubatan. Jawatankuasa akan tentukan sama ada pesakit itu boleh dibantu atau tidak. Jika boleh dirawat di hospital kerajaan kita akan syorkan berubat dengan kitalah sebab kosnya kurang.

Jika tidak boleh, kita akan bantu dia cari di mana boleh buat rawatan, di Hospital Universiti atau hospital swasta yang ada kepakaran. Dan kita akan tanya berapa banyak kos yang diperlukan.

Lepas itu kita akan beritahu surat khabar, kalau Utusan, kita akan beritahu Utusan, pesakit ini perlukan sekian banyak duit... bolehlah hebah cara mana nak hebah dalam surat khabar.

Bagaimana duit tabung itu akan disalurkan.

TAHA: Duit itu tidak akan didermakan terus kepada pesakit yang ada disiarkan alamat-alamat dalam surat khabar tu. Kita akan bayar duit itu kepada hospital terbabit.

Kalau lebih, duit tinggal dalam tabung... kalau kurang kena cari lain buat bayaran.

Kenapa duit itu tidak terus disalurkan kepada pesakit yang memerlukan.

TAHA: Kadang-kadang ada kes, pesakit nak buat pembedahan di Hospital Kuching, Sarawak, kenapa perlu RM10,000 untuk biaya sedangkan kosnya hanya RM500 sahaja.

Kadang-kadang ada orang nak ambil kesempatan. Kalau dah tahu nak buat pembedahan di hospital kerajaan, tak perlu banyak wang kecuali nak beli sesuatu alat tambahan.

Sebab tu kena lihat dokumen, kena tapis dulu. Macam mana awak tahu pembedahan menelan kos setengah juta... kecuali ada bukti yang hospital itu nak kenakan kos sebanyak itu.

Jika ada duit, pesakit boleh pergi mana-mana hospital, yang tak mampu kita akan bantu, tolong semua. Kita akan bantu nasihat, keputusan terakhir adalah atas pesakit sendiri, sama ada dia hendak berubat atau tidak itu hak dia. Kita tidak boleh paksa dia.

Bagaimana pula jika pesakit berkeras untuk ke hospital swasta walaupun jawatankuasa penilai mengesahkan rawatan boleh dilakukan di HKL, contohnya.

TAHA: Itu terpulanglah kepada pesakit. Kita sudah tawarkan rawatan di hospital kerajaan.

Tan Sri, apa langkah yang boleh diambil oleh pesakit jika wang tabung tidak mencukupi tetapi pembedahan perlu dilakukan segera.

TAHA: Jika dalam keadaan kecemasan, teruslah ke hospital... duit kemudian, jangan tunggu sebab kita boleh rujuk ke sana sini.

Kalau pergi ke hospital swasta dan perlu bantuan, kita beri jaminan dengan swasta. Kalau dia tidak mampu, kita akan bincang dengan hospital swasta.

Kewujudan tabung ini memang dialu-alukan tetapi siapakah yang menguruskannya dan membuat penilaian mereka yang layak dibantu.

TAHA: Tabung ini adalah seperti tin kosong, sama seperti kanak-kanak simpan duit dalam kotak, perlu diisi, kadang-kadang keluarkan duit dan lepas keluar kena masukkan balik, tapi duit tu tak nampak lagi. Yang diisi kadang-kadang dari bantuan kerajaan.

Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menjaga tabung. Saya adalah Pengerusi Jawatankuasa Penilai, Penerima Bantuan TKPK ini. Siapa yang akan dapat duit tabung ini dinilai oleh jawatankuasa ini.

Tan Sri, setakat ini berapa ramai yang telah memohon mendapatkan bantuan daripada tabung ini.

TAHA: Jawatankuasa telah menerima 13 permohonan untuk disemak dan untuk pengesahan rawatan. Sebanyak lapan permohonan sudah diproses dan lima pesakit telah dirujuk untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Sebanyak dua kes lagi dibenar mendapatkan rawatan di hospital swasta dan jawatankuasa memberi kebenaran kepada dua akhbar berbahasa Cina untuk mengutip derma daripada orang ramai. Sekiranya tidak cukup, barulah TKPK akan tambah.

Satu kes lagi dirujuk kepada Institut Jantung Negara (IJN) dan pesakit itu telah diberi bantuan kerajaan, jadi tidak perlu derma orang ramai.

Manakala lima kes lagi tidak lengkap. Kebanyakannya tidak menyatakan pendapatan keluarga. Itu penting kerana permohonan adalah berdasarkan pendapatan keluarga kerana tabung ini untuk membantu orang miskin.

Walaupun tabung seperti ini telah diwujudkan, masih ramai pesakit kronik yang tidak mendapat bantuan dan perhatian daripada Kementerian Kesihatan seperti yang disiarkan oleh akhbar-akhbar. Nampak seolah-olah kementerian tidak prihatin.

TAHA: Kerajaan memang sayang rakyat. Mana ada negara yang prihatin seperti Malaysia. Sebagai contoh, Kemboja sebuah negara yang miskin, untuk ubat penyakit malaria juga mereka kena beli.

Di Malaysia, tidak kira jutawan, penagih dadah atau peminta sedekah semuanya percuma kalau penyakit berjangkit, apa lagi sebab kata kementerian tak prihatin, saya tidak faham.

Selama ini, kementerian dapat peruntukan untuk bajet biasa bagi menguruskan perkhidmatan di hospital-hospital, klinik, pejabat dan untuk Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan juga program kesihatan di merata-rata tempat.

Apakah tabung ini akan menyalurkan bantuan mengikut jumlah yang diperlukan oleh pesakit.

TAHA: Pesakit perlu bayar sikit sahaja berdasarkan Akta Jadual Fi, berbanding hospital swasta. Kenapa sikit, sebab kerajaan subsidi banyak, lebih daripada 97 peratus. Kita seperti Kementerian Kebajikan. Mereka (pesakit) yang datang kepada kita, kita beri semua kecuali peralatan khas seperti besi penyambung tulang belakang (kanser tulang), peralatan khas lain untuk pendengaran, gigi palsu dan lain-lain.

Ubat-ubatan yang tiada dalam senarai kena beli juga, tapi kita mempunyai cukup ubat-ubatan asas, lebih daripada cukup kecualilah jika satu-satu ubat itu tiada dalam pengeluaran.

Ramai pesakit kronik terpaksa datang ke akhbar kerana tidak tahu di mana hendak dapatkan rawatan lanjut, pada hal mereka boleh terus merujuk ke hospital kerajaan. Boleh Tan Sri jelaskan, bagaimana sistem rujukan yang ada di hospital kerajaan.

TAHA: Kita perlu pastikan apakah pesakit itu mula-mula berjumpa dengan pegawai perubatan di luar bandar? Jika ya dan jika difikirkan perlu rawatan susulan, kita akan rujukkan ke hospital-hospital yang mempunyai kepakaran berkaitan seperti Hospital Kuala Lumpur (HKL) atau Hospital Selayang.

Sebagai contoh, jika di Bachok, Kelantan, di sana tidak ada hospital, maka dia akan dirujuk ke Hospital Kota Bharu. Di sana, pesakit akan diperiksa dan diberi rawatan awal.

Doktor akan memastikan apakah perlu rawatan lanjutan dan jika perlu maka akan dirujuk untuk dapatkan rawatan-rawatan lanjutan di hospital terdekat seperti Hospital USM, Kubang Kerian atau ke HKL atau Hospital Selayang, tertakluk kepada kepakaran yang ada.

Jika ada kepakaran di Hospital Selayang kemudian pesakit akan dihantar ke sana. Jika perlu dihantar dengan ambulans, dia akan dihantar dengan ambulans. Jika perlu dihantar dengan kapal terbang dalam kes kecemasan, akan diuruskan dengan diiringi jururawat atau doktor.

Jika dalam kes kecemasan kita boleh minta bantuan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bawa doktor, jururawat dan peralatan yang diperlukan sekali.

Kalau Hospital Selayang juga tak boleh urus, kita akan rujuk kepada hospital swasta terdekat.

Adakah pesakit yang memerlukan bantuan itu perlu membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan terlebih dahulu?

TAHA: Tidak perlu ke kementerian, boleh terus ke hospital sahaja.

Tetapi dalam kes kembar Siam Ahmad dan Muhammad, kenapa mereka tidak dibedah oleh pakar tempatan.

TAHA: Saya tak tahu jawapannya, itu kena tanya orang sana (PPUM) sebab dia bukan di bawah kementerian.

Apakah tidak ada sistem rujukan atau rangkaian di antara hospital-hospital kerajaan, hospital universiti dan hospital swasta. Bolehkah doktor kerajaan `campur tangan' dalam kes-kes tertentu di hospital swasta.

TAHA: Atas dasar rakan, mungkin mereka boleh terima tetapi bila banyak pesakit adakah anda fikir anda ada masa untuk `campur tangan.'

Antara kita memang ada sistem rujukan. Doktor bebas membuat keputusan. Mereka tahu apa yang mereka buat. Jika perlu bantuan biasanya kita akan merujuk kes dengan rakan-rakan seperjuangan atau bertanyakan tempat (hospital) yang sesuai.

Lagipun kita kena tengok faktor pesakit juga. Hendakkah dia berpindah-pindah. Hendakkah dia dirawat di sesuatu hospital. Ada pesakit tidak mahu dirawat di hospital kerajaan.

Mereka hendak layanan hotel lima bintang. Sebab itu ramai yang suka ke hospital swasta. Bilik mandi asing, lantai cantik, tuala tebal-tebal. Sudah tentulah setiap kali panggil dia caj, satu suap makan dia caj dan sekali pakar pegang dia caj. Tak apalah bagi mereka yang mampu, kalau tak mampu pergi ke hospital kerajaan.

Ada orang berpendapat layanan hotel lima bintang itu penting tetapi ada pula yang tidak kisah sangat asalkan dapat rawatan yang terbaik, itu sudah mencukupi.

Yang kaya, yang ada duit dia hendakkan yang selesa dan dia tak kisah berapa kena caj.

Kita bercakap tentang pesakit yang tidak berkemampuan, yang keluarganya berpendapat rendah, jadi mereka ke hospital kerajaan. Tapi kalau hospital kerajaan kata tidak boleh buat apa khususnya dalam kes-kes kronik, macam mana?

TAHA: Yang datang ke hospital kerajaan, 97 peratus sudah tentu percuma dan sekiranya tidak mampu juga kita akan kecualikan daripada bayaran... apa lagi yang mahu. Hospital lain itu bukan di bawah Kementerian Kesihatan, saya tak mahu kacaulah nanti apa kata orang pula.

Sejak akhir-akhir ini, ada hospital seperti Hospital Universiti yang mula prihatin dengan menanggung penuh kos pembedahan pesakit miskin. Apa komen Tan Sri?

TAHA: Kita mengalu-alukan khidmat sosial itu. Dia (Hospital Universiti) juga di bawah kerajaan, walaupun di bawah kementerian berbeza. Dia caj siapa yang mampu sahaja.

Apa bezanya hospital kerajaan dengan Hospital Universiti.

TAHA: Hospital Universiti di bawah Kementerian Pendidikan, hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan manakala Institut Jantung Negara (IJN) di bawah Kementerian Kewangan, tapi kita bantu dari segi nasihat.

Bagaimanapun, kita kerjasama untuk rujukan satu sama lain, bila ada mesin rosak, kita pinjam atau hantar pesakit ke sana. Ia tidak perlu ditanggung oleh pesakit, semua kos ditanggung oleh hospital kerajaan.

Dalam banyak kes, pesakit kronik terpaksa merayu dalam akhbar minta bantuan. Kenapa Kementerian Kesihatan tidak menghulur bantuan sehingga pesakit terpaksa merayu ke sana sini.

TAHA: Seperti yang disebut tadi, pada dasarnya kita beri khidmat percuma 97 peratus. Kenapa orang tak faham. Menteri selalu cakap dalam banyak majlis berkaitan, kerajaan bayar banyak, hospital kerajaan lagi murah. Pergi hospital swasta buat apa. Tentulah hospital swasta caj mahal-mahal.

Bila tak mampu dia pergi kepada surat khabar minta sedekah. Dia tidak datang maklumkan kepada kita... terus ke hospital swasta.

Mungkin ada yang datang ke hospital kerajaan, kita akan uruskan senyap-senyap, buat apa heboh-heboh.

Ada yang kata, proses untuk mendapat bantuan agak lambat, sedangkan pesakit memerlukan rawatan segera. Apa komen Tan Sri?

TAHA: Okey... nombor satu, kita mesti tengok dulu kerajaan ada duit atau tidak. Kadang-kadang yang tak boleh bayar, yang nak beli alat berharga RM10,000, kita rujuk kepada bahagian kebajikan.

Bukan peralatan sahaja, ada yang hendak ke Hospital Kuala Lumpur dari Alor Setar, tak ada duit, kebajikan tolong.

Banyak kes seperti itu. Dalam satu tahun ada banyak kes macam tu. Yang pergi ke surat khabar hanya sebahagian sahaja. Setiap hari kita uruskan kes seperti itu, tetapi orang tidak tahu.

Pesakit tidak mahu bercakap pasal itu kerana nanti malu sendiri kalau orang tahu penyakit mereka. Doktor pun perlu jaga kerahsiaan.

Lazimnya bayaran pembedahan di hospital swasta terlalu tinggi mencapai RM200,000 hingga RM300,000 sedangkan kos pembedahan yang sama di hospital kerajaan jauh lebih rendah antara RM20,000 hingga RM30,000 sahaja. Kenapa ini berlaku.

TAHA: Sebenarnya, di hospital kerajaan, kita beri subsidi, kos sebenar lebih daripada itu. Jika tiada subsidi baru orang tahu berapa banyak kos sebenar.

Tapi yang jadi masalah ialah ramai yang kata hospital kerajaan banyak red tape (kerenah birokrasi). Sejauh mana kebenarannya.

TAHA: Tidak ada. Tetapi tentulah kita kena ikut sistem... macam nak beli tiket bas... kena beratur, itu prosedur sahaja. Jangan sebab itu orang takut. Jangan jadikan ia sebagai penghalang.

Dalam sesetengah kes, pesakit yang memerlukan rawatan susulan, kesnya dibiarkan begitu sahaja seolah-olah tidak ada satu sistem rujukan dengan mana-mana pakar.

TAHA: Sistem rujukan ini sudah ada lama. Jika tak boleh buat, kita rujuk, kita bincang sesama sendiri, dapatkan pendapat kedua jika kita tak yakin. Sebelum pesakit cari pakar, kita sendiri akan cari... siapa yang pakar, kita akan rujuk.

Yang penting, di mana ada keperluan, di situ ada bantuan. Tapi kena datang kepada kitalah, Jika tak datang macam mana kita nak tahu.

Apa perkembangan mengenai nasib sembilan pesakit kronik yang tidak mendapat bantuan seperti tersiar dalam Mingguan Malaysia, Ahad lalu?

TAHA: Saya berjanji akan ketengahkan masalah mereka ini kepada jawatankuasa penilai bantuan.

Pada pandangan Tan Sri, kenapa orang ramai tidak mahu ke hospital kerajaan dalam kes-kes tertentu dan lebih suka merujuk ke hospital swasta.

TAHA: Persepsi. Persepsi bahawa hospital swasta lebih baik. Ini persepsi sahaja, mungkin lebih baik pandangan pandangan dialah.

Saya rasa tidak ada beza... kita lebih banyak lagi dari segi kepelbagaiannya. Semua di bawah satu bumbung.

Bagaimana hendak mengubah persepsi ini supaya hospital kerajaan dilihat lebih baik. Mungkin keadaan ini wujud kerana kejayaan hospital kerajaan jarang dihebahkan.

TAHA: Pertama... orang yang buat baik (hospital kerajaan) selalu merendah diri, kita tak suka nak tonjol dan tunjuk hebat. Kedua... etika kedoktoran menjadi rintangan. Kita tak boleh iklan kepakaran doktor kita.

Persepsi ini sudah terlekat dalam minda orang ramai, jadi susah sikit nak diubah. Mungkin kementerian boleh tonjol imej lebih menyerlah dan menghebahkan kejayaan mereka.

Apakah kepakaran yang ada di hospital kerajaan.

TAHA: Kita ada hampir semua kepakaran. Sebagai contoh, perubatan umum ada 140 pakar, pediatrik (160), psikiatri (70), bedah umum (140), optomologi (82), bius (150), X-ray/radiologi (90) dan patologi (120).

Adakah etika perubatan menghalang hebahan mengenai kepakaran seperti ini.

TAHA: Dari segi bidang kepakaran, ia boleh diiklankan tapi bukan nama doktor. Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) ada senarai hospital dan kepakaran yang ada, cuma tidak boleh sebut nama doktor.

Tetapi sebelum iklan macam itu, perlu dapatkan kebenaran daripada jawatankuasa iklan terlebih dahulu.

Tan Sri, boleh jelaskan mengenai kos maksimum rawatan RM500. Apakah jenis rawatan yang termasuk dalam kos maksimum ini.

TAHA: Bagi pesakit yang masuk wad kelas tiga, kos pembedahan, rawatan dan ubat-ubatan termasuk dalam kos maksimum RM500 ini. Jika pesakit masih tidak mampu dan tidak boleh bayar juga, mereka akan dikecualikan.

Kita ada sistem yang baik. Bagi orang kampung yang datang berubat di hospital kerajaan, jika dia tidak mampu walaupun RM10, kita akan kecualikan. Dalam setahun kita kecualikan berapa juta pesakit, mereka tak payah bayar apa-apa.

Macam mana cara pesakit boleh mendapatkan pengecualian ini.

TAHA: Setiap hospital ada pegawai kebajikan. Pegawai ini akan interviu, tanya pendapatan pesakit, apa masalah yang menyebabkan mereka tidak mampu bayar. Kalau tidak boleh bayar penuh, bolehlah mereka bayar 10 peratus, kalau tak boleh juga, mereka akan kecualikan dan tidak perlu bayar satu sen pun.

Setakat ini belum ada hospital kanak-kanak di bawah satu bumbung di negara ini. Adakah terdapat perancangan untuk menubuhkan hospital sedemikian.

TAHA: Kita sudah ada Institut Pediatrik. Itu adalah hospital yang merawat kanak-kanak.

Tan Sri, akhir sekali, apakah hala tuju kementerian bagi membantu pesakit-pesakit kronik khususnya dari golongan miskin dan berpendapatan rendah.

TAHA: Datanglah kepada kita... kita sayang anda semua, anda akan dilayan bagai menatang minyak yang penuh. Kita ada wawasan sendiri. Di mana ada keperluan di situ ada bantuan.
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
[size=7]Pemuda UMNO bincang isu TBP[/size]
Sumber: Utusan Malaysia (2006)


KEPALA BATAS 5 Feb. - Pergerakan Pemuda UMNO akan membincangkan secara serius isu Tabung Bantuan Perubatan (TBP) yang didakwa tidak memberi manfaat kepada golongan yang memerlukannya dalam mesyuarat exco pergerakan itu esok.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, isu tersebut adalah antara agenda penting yang akan dibincangkan secara panjang lebar dalam perjumpaan itu termasuk menimbang jalan penyelesaian terbaik bagi menanganinya.

``Pemuda akan bincang dan perhalusi isu tersebut dan mendapatkan maklumat lanjut dari Pengerusi Biro Kebajikan dan Pembelaan Masyarakat, Datuk Subahan Kamal esok.

``Kita perlukan maklumat terkini mengenai perkembangan tabung itu terlebih dahulu,'' katanya selepas merasmikan Program Gemilang 2020 anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Kepala Batas dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.

Tiga pertubuhan bukan kerajaan semalam mendesak kerajaan mengkaji semula syarat-syarat kelayakan Tabung Bantuan Perubatan (TBP) supaya peruntukan yang disediakan menerusi tabung itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Ketiga-tiga pertubuhan itu juga tidak mahu TBP diuar-uarkan mempunyai peruntukan berjuta ringgit tetapi realitinya rakyat menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bantuan.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu TBP menjadi tabung bantuan yang sebenar-benarnya.

Ditanya mengenai pendirian Pemuda berhubung ketetapan syarat bagi mendapatkan kemudahan dari tabung itu, Hishammuddin berkata: ``Kita akan dapatkan maklumat terkini terlebih dahulu, kita akan cari jalan (menyelesaikannya).''

TBP bagi penghidap penyakit kronik miskin yang dilancarkan tahun lalu `bagaikan tidak disentuh' apabila hanya RM6.1 juta sahaja dibelanjakan daripada peruntukan keseluruhan RM100 juta.

Lebih menghairankan, daripada 398 pesakit yang memohon daripada tabung berkenaan, lebih 60 peratus melibatkan kes ortopedik akibat kemalangan dan bukannya penyakit kronik, manakala selebihnya membabitkan pembelian peralatan bagi pesakit jantung.

Tabung itu dilancarkan tahun lalu bagi menggantikan Tabung Kebajikan Kesihatan Kebangsaan (TKKK) yang menimbulkan kontroversi dan baki sebanyak RM640,000 dalam tabung itu dipindahkan ke dalam TBP.
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
NOTA: BUAT MASA INI MAKLUMAT BELUM DIPROSES SEPENUHNYA:


Tabung Kebajikan Kesihatan Kebangsaan (TKKK) ditubuhkan untuk membantu membiayai sepenuhnya atau sebahagian kos rawatan pesakit miskin yang mana kemudahan rawatan tersebut tidak dibekalkan oleh hospital kerajaan.



KRITERIA KELAYAKAN
1
Warganegara Malaysia yang mempunyai kad pengenalan Malaysia yang sah.
2
Bukan kakitangan kerajaan atau pesara atau bukan mana-mana anggota keluarga kakitangan Kerajaan yang mendapat faedah perubatan di bawah Skim Saraubat JPA.
3
Golongan yang miskin atau kurang mampu menanggung kos rawatan.
4
Pesakit perlu dirujuk dari Hospital Kerajaan.
5
Rawatan yang diperlukan dijalankan dalam Malaysia sahaja.
6
Permohonan perlu dibuat sebelum rawatan dijalankan.
7
bantuan untuk menanggung kos rawatan perubatan sahaja akan dipertimbangkan.

JENIS BANTUAN
1
Membantu membiayai kos rawatan perubatan pesakit miskin yang mana kemudahan rawatan tersebut tidak terdapat di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia.
2
Membantu membiayai pembelian ubat-ubatan yang tidak dibekalkan di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia.
3
Membantu membiayai pembelian peralatan perubatan yang tiada dibekalkan melalui subsidi kerajaan.

CARA MEMOHON
1
Memaklumkan kepada doktor yang merawat tentang keperluan bantuan kewangan untuk meneruskan rawatan perubatan.
2
membawa surat rujukan doktor dan berjumpa dengan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) di Hospital yang merawat.
3
Melengkapkan borang permohonan bersama bantuan PKSP.
4
PKSP akan menyediakan laporan sosio ekonomi bagi pemohon.
5
PKSP akan memajukan borang permohonan bersama laporan sosio ekonomi dan dokumen sokongan kepada Urusetia TKKK.

http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
‘Bukan kerenah birokrasi’
Oleh Azrina Ahzan
21 Januari 2006
sumber: http://www.moh.gov.my/

PUTRAJAYA: Kerenah birokrasi bukan menjadi punca Tabung Bantuan Perubatan (TBP) tidak diagihkan sepenuhnya, sebaliknya ia disebabkan kegagalan pemohon mengisi borang dengan lengkap selain mengepilkan surat sokongan bersama dalam permohonan mereka.


Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, berkata kerenah birokrasi yang didakwa menjejaskan proses permohonan dan pengagihan TPB sudah diatasi sejak tahun lalu atas arahan Kabinet.

“Banyak kerenah birokrasi dimansuhkan untuk tujuan itu. Malah, kelulusanjuga dapat diberikan dalam tempoh dua minggu.

“Permohonan juga boleh diluluskan Ketua Setiausaha selaku Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Wang Amanah TBP, berbanding menteri sebelum ini.

"Syarat bahawa pendapatan keluarga pesakit di bawah RM600 serta pemohon perlu berjumpa doktor kerajaan untuk dirujuk kepada Pegawai Kerja Sosial hospital awam bagi menilai status sosial ekonomi pesakit juga sudah dimansuhkan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kementerian segera mengatasi masalah birokrasi TBP bagi membolehkan bantuan disalurkan segera.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan sejumlah RM6.1 juta peruntukan TBP dibelanjakan sepanjang tahun lalu, berbanding geran tahunan bernilai RM25 juta yang diperoleh daripada kerajaan.

Dr Chua berkata, Kabinet juga bersetuju supaya bantuan kewangan boleh disalurkan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital swasta tempatan jika rawatan penyakit berkenaan tidak disediakan di hospital kerajaan.

Katanya TPB pernah mengeluarkan persetujuan lisan kepada keluarga pesakit walaupun permohonan baru dikemukakan.

Mengulas dakwaan Norhayati Omar, ibu pesakit bengkak hati berusia tiga tahun, Intan Syafiqah Mohamad Fauzi bahawa beliau terpaksa menunggu lebih dua tahun mendapatkan peruntukan TBP, Dr Chua berkata: "Masalah berkenaan timbul kerana keluarganya enggan membenarkan anak mereka menjalani pembedahan di Hospital Selayang.

"Kita sudah maklumkan kepada ibu bapanya tabung berkenaan hanya boleh membiayai pembedahan yang dikendalikan di hospital kerajaan iaitu Hospital Selayang yang mempunyai kemudahan serta kepakaran setaraf hospital lain di rantau ini.

"Bagaimanapun, sehingga Mei lalu keluarga kanak-kanak itu masih enggan menjalani pembedahan di Hospital Selayang walaupun dia sudah dirawat beberapa pakar di hospital itu," katanya.

Dr Chua berkata, kes Intan Syafiqah yang meninggal dunia pada 25 Oktober lalu iaitu dua minggu sebelum dijadualkan menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) akan dikemukakan kepada Kabinet.

Mengenai dakwaan seorang bapa terpaksa menyambut kelahiran bayinya yang tidak cukup bulan selepas jururawat mendapati doktor di wad bersalin Hospital Putrajaya sedang tidur, Dr Chua berkata, beliau tidak menerima laporan kejadian itu.

Dalam kejadian Khamis lalu, kakitangan awam, Amir Ridzwan Shah Rofiee mendakwa dua jururawat meminta isterinya, Norashekeen Kamarunzaman, 21, meneran untuk bersalin ketika beliau mengadu sakit perut tanpa menyedari bahwa kandungan isterinya baru berusia lima bulan.
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
ZetaBoards - Free Forum Hosting
Create a free forum in seconds.
Learn More · Sign-up Now
« Previous Topic · Info Kebajikan & Kemasyarakatan · Next Topic »
Add Reply

JUMLAH PENGUNJUNG (VISITOR) SETAKAT INI:
................................................................................................................................................................
My Topsites List Search Engine Submission & Optimization Search Engine Submission and Internet Marketing
................................................................................................................................................................