Welcome Guest [Log In] [Register]
BARU DIBUKA! Klik butang Like dan temui ribuan pengguna laman web ini.
Tawaran Iklan Di bawah Ini Akan Tamat Pada Bila-bila Masa:


Add Reply
GABUNGAN PERSATUAN-PERSATUAN PENGGUNA MALAYSIA; Website FOMCA
Topic Started: Mon Jan 23, 2006 2:03 pm (3,709 Views)
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
[size=10]GABUNGAN PERSATUAN-PERSATUAN PENGGUNA MALAYSIA
FEDERATION OF MALAYSIAN CONSUMERS ASSOCIATIONS[/size]

WEBSITE: http://www.fomca.org.my/
WEB PROMOTER: Dragonizer

Posted Image

Ketahuilah hak anda sebagai pengguna, dan status sesuatu produk, harga pasaran produk dan kesan penggunaan sesuatu produk terhadap pengguna. Buletin Pengguna dalam format fail .PDF (Acrobat Reader) turut disertakan.

[size=7]URUSAN JUAL BELI: PENGGUNA MASIH TIDAK TERLINDUNG
Oleh ©Mohaji bin Selamat** [/size]

1. PENGENALAN

Dari segi sejarah, urusan jual beli adalah merupakan satu bentuk hubungan ekonomi dan sosial yang telah lama wujud1. Bermula dari konsep pertukaran barangan (sistem barter) kemudiannya penggunaan kulit siput sebagai medium pertukaran, kini manusia telah mempunyai satu sistem kewangan yang maju dan canggih. Urusan jual beli bermaksud satu bentuk hubungan di antara pihak penjual dan pembeli yang melibatkan pertukaran barangan dan matawang. la berasaskan prinsip kehendak dan permintaan iaitu manusia sentiasa mahukan sesuatu samada untuk memenuhi keperluan atau untuk tujuan keselesaan hidup. Urusan jual beli adalah permulaan kepada sistem ekonomi di peringkat asas, ia akhimya akan membentuk satu kerangka ekonomi yang bersifat global dan lebih kompleks. Namun, semakin ia berkembang, pihak pembeli atau pengguna akan terus menerima kesan samada baik atau buruk. Golongan pengguna perlu dilindungi untuk memastikan supaya mereka tidak teraniaya. Undang-undang adalah salah satu cara untuk melindungi kepentingan pengguna, tetapi persoalannya, setakat mana ia mampu memberi perlindungan tersebut. Dalam skop perbincangan tentang perkara ini, kita akan mengkaji situasi urusan jual beli di negara ini untuk melihat setakat mana pengguna dilindungi. Sebelum kita membincangkan samada pengguna dilindungi atau tidak dalam urusan jual beli, terlebih dahulu kita harus mengenal-pasti siapakah yang dimaksudkan sebagai pengguna.


2. SIAPAKAH PENGGUNA?
Siapakah yang dimaksudkan dengan pengguna? Adakah ia hanya dikaitkan dengan orang yang membeli barangan secara langsung atau ia juga boleh termasuk orang lain yang tidak terlibat dengan urusan jual beli? Secara umum, menurut John F Kennedy, pengguna merangkumi semua orang. Ini telah ditegaskan dalam satu deklarasi di Dewan Kongres pada 15 Mac 1962 iaitu:

‘Consumers, by definition, include us all, ...They are the largest economic group, affecting and affected by almost every public and private economic decision.2’

Namun sesetengah cendekiawan tidak menggolongkan semua manusia sebagai pengguna. Takrifan lain ada menyatakan pengguna sebagai:

‘A person to whom goods, services, credit are supplied or to be supplied by another in the course of a business carried on by him.3’

Takrifan yang agak sempit juga diperolehi di dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 di mana pengguna adalah seseorang yang memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan daripada jenis yang pada lazimnya diperoleh bagi maksud, kegunaan atau penggunaan diri, rumahtangga atau isi rumah dan tidak memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan itu, atau mengemukakan dirinya sebagai memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan itu, terutamanya bagi maksud membekalkannya semula secara perdagangan; menggunakannya dalam perjalanan suatu proses pengilangan; atau dalam hal barang, membaiki atau mengolah secara perdagangan, barang lain atau lekapan pada tanah4.

Kesimpulannya, pengguna boleh terdiri dari sesiapa sahaja samada ia terlibat dengan proses jual beli secara langsung atau hanya menggunakan barang serta perkhidmatan yang telah diperolehi oleh orang lain melalui urusan jual beli.


3. Setakat Mana Pengguna Dilindungi Dalam Urusan Jualbeli

Sebagaimana yang telah dijelaskan, keadaan sistem ekonomi yang semakin kompleks memerlukan mekanisme yang lebih baik untuk memastikan kepentingan pengguna terus dilindungi. Golongan penjual kini bukan hanya terdiri dari individu atau kumpulan kecil, malah ia turut diwakili oleh syarikat-syarikat multi-nasional, konglomerat antarabangsa dan pembekal produk asing. Ini kadangkala menjadikan situasi dalam urusan jual beli tidak seimbang dan sering memihak kepada golongan penjual. Maka, dalam konteks negara kita, persoalan yang timbul ialah adakah pengguna telah dilindungi dari segi undang-undang atau pentadbiran dalam urusan jual beli.

Pada hakikatnya, masyarakat pengguna di Malaysia amat bertuah kerana mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) serta badan-badan dan persatuan-persatuan pengguna yang sentiasa bergerak aktif dalam memantau aktiviti-aktiviti jual beli dan pelbagai urusan berhubung pengguna. Pihak-pihak ini juga sentiasa berusaha memberi pendidikan kepenggunaan yang secukupnya kepada masyarakat melalui pelbagai forum, seminar, bengkel dan lain-lain lagi. Walaupun terdapatnya pelbagai usaha bagi melindungi pengguna, namun demikian, masih ada ruang di mana pengguna masih tidak dilindungi terutamanya dalam urusan jual beli.

Urusan jual beli secara curang dan tidak sihat seringkali berlaku dan memperlihatkan seolah-olah para pengguna masih tidak dilindungi. Masalah yang dihadapi pengguna pada masa kini adalah sangat luas dan mencabar seiring dengan kemajuan ekonomi yang dinikmati. Taraf hidup masyarakat yang semakin meningkat menyebabkan kuasa beli dan citarasa pengguna juga semakin bertambah.

Para peniaga menggunakan pelbagai taktik bagi menarik perhatian pengguna membeli barangan yang dijual. Antara usaha yang sentiasa mendapat perhatian adalah melalui jualan murah. Melalui aktiviti jualan murah ini, sesetengah peniaga mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan cara yang salah. Walaupun telah wujud akta yang mengawal aktiviti jualan murah, iaitu Akta Perihal Dagangan 1972, namun kegiatan peniaga yang menyalahi undang-undang di dalam aktiviti ini masih tidak dapat dibendung. Dalam hal ini, pihak kementerian telah menjalankan usaha mengkaji kemungkinan untuk memperketatkan kawalan jualan murah di bawah akta tersebut. Penekanan diberi kepada beberapa aspek termasuklah tempoh jualan murah itu diadakan, iaitu tidak melebihi 30 hari, jumlah kekerapan suatu jualan murah diadakan dan jumlah barangan yang dipilih untuk jualan murah itu5.

Bagi pengguna muslim pula, isu penggunaan tanda halal begitu membimbangkan. Ini berikutan berlakunya beberapa kes di mana sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan tanda halal pada makanan dan produk yang tidak halal. Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (‘Jakim’) telah mengeluarkan logo pengesahan halal yang standard kepada setiap makanan dan produk yang diperiksa. Namun demikian, keyakinan pengguna muslim terhadap makanan dan produk yang menggunakan tanda halal yang dikeluarkan oleh Jakim ini tergugat apabila ada pihak yang meniru tanda halal Jakim pada barangan yang tidak halal. Malah, terdapat juga komen yang menyatakan babawa logo halal yang diberikan adalah tidak menurut spesifikasi yang ketat dan kajian ke atas produk juga tidak dibuat secara serius6. Komen atau kritikan ini seharusnya diberikan perhatian yang serius kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam yang merupakan antara golongan pengguna terbesar di negara ini.

Selain daripada isu-isu yang dinyatakan di atas, terdapat juga masalah yang timbul danpada perkembangan dunia pada hari ini. Melalui globalisasi yang melanda dunia pada hari ini, dapat dilihat bahawa Malaysia turut memperkembangkan pelbagai kegiatan ekonomi bagi membantu negara sering menghadapi cabaran-cabaran untuk bersaing dengan dunia luar. Kegiatan ekonomi, khususnya urusan jual beli, bukan sahaja boleh dilakukan secara manual, malah boleh dijalankan melalui dunia siber atau internet. Urusan ini dikenali sebagai e-dagang yang menyediakan pelbagai pilihan barangan di dalam laman web bagi pengguna membuat pilihan seterusnya menjalani urusan melalui laman web yang disediakan tersebut. Penjual atau syarikat perniagaan yang menggunakan cara ini boleh mendapatkan pulangan yang begitu tinggi seperti kejayaan syarikat antarabangsa Cisco System yang telah berjaya memperolehi hasil jualan bernilai AS$5.6 bilion setiap tahun melalui laman web7

Urusan sebegini juga tidak terlepas daripada pelbagai jenis penipuan yang mampu dilakukan oleh peniaga. Antaranya, produk yang dipesan tidak dihantar kepada pembeli setelah bayaran dibuat melalui debit ke kad kredit, bank atau pos, dan produk yang dihantar tidak mematuhi kualiti seperti yang diiklankan dalam laman web. Syarikat yang mengiklankan barangan dan produk juga mungkin akan menutup laman web selepas beroperasi dalam jangkamasa yang singkat selepas mengaut keuntungan daripada pembeli.

Oleh itu, pengguna haruslah mengambil langkah berjaga-jaga sebelum memesan sesuatu produk daripada mana-mana syarikat yang mengambil pesanan di dalam laman web. Pihak berkuasa sukar untuk mengenalpasti kegiatan penipuan sebegini walaupun pada hakikatnya, peniaga yang melakukan penipuan dengan cara ini tidak terlepas daripada mengikut garis panduan yang ada dalam akta-akta yang melindungi pengguna. Para pengguna dinasihatkan supaya terlebih dahulu mengetahui hak-hak mereka di dalam menjalani transaksi jual beli melalui internet ini termasuklah hak untuk mendapatkan maklumat, hak untuk mendapatkan transaksi yang selamat, hak untuk mendapatkan gantirugi serta hak untuk maklumat peribadi.

Baru-baru ini, pengguna turut menghadapi isu produk kecantikan dan produk melangsingkan badan di mana sesetengah produk tersebut dikatakan meninggalkan kesan sampingan yang berbahaya8. Sikap pengguna yang ingin cantik menyebabkan mereka berani mencuba apa-apa produk yang menjanjikan kepuasan kepada mereka. Ramai pengguna menyalahkan pihak berkuasa kerana gagal mengesan bahaya ini di peringkat awal. Media massa termasuk stesen televisyen turut dipersalahkan kerana menyiarkan iklan-iklan produk terbabit dan seolah-olah mengambil sikap sambil lewa terhadap pengguna. KPDN&HEP telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menangani isu yang berlaku ini.

Menyentuh tentang isu keselamatan produk ini, seksyen 19 Akta Perlindungan Pengguna 1999 perlu dirujuk di mana ia telah menetapkan standard keselamatan yang perlu dipatuhi oleh pengeluar produk atau barangan. Kehendak keselamatan umum dinyatakan dalam seksyen 21 Akta tersebut. Oleh kerana itu, para pengeluar dan penjual perlu memastikan barangan yang dikeluarkan dan dijual adalah selamat digunakan oleh para pengguna.

Bagi melindungi pengguna, pelbagai akta telah digubal termasuklah Akta Kawalan Harga 1946, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Timbang Dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 1972, Akta Sewa Beli 1967, Akta Hakcipta 1987, Akta Jualan Langsung 1993, dan yang terkini Akta Perlindungan Pengguna 1999. Namun demikian, sejauh manakah pengguna dilindungi oleh akta-akta yang dikuatkuasakan ini? Adakah akta-akta yang ada ini mampu menyelesaikan masalah kepenggunaan seterusnya benar-benar melindungi pengguna? Adakah pengguna di negara ini sedar akan kewujudan undang-undang yang melindungi mereka dan memperuntukkan remedi tertentu bagi mereka menuntut keadilan dalam transaksi jualbeli? Persoalan-persoalan ini perlu dirungkai bagi menjawab isu bahawa pengguna masih tidak terlindung.

Akta Kawalan Harga 1946 menyediakan peruntukan bagi penandaan harga, perlabelan serta penetapan harga maksimum bagi barangan dan perkhidmatan. Dengan adanya peruntukan-peruntukan sebegini, peniaga tidak dapat meletakkan harga sewenang-wenangnya seterusnya terhalang daripada mendapat keuntungan yang berlebihan. Di samping tekat dengan akta ini, peniaga juga dimestikan mematuhi Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993. Walaupun akta ini sudah lama wujud, penguatkuasaan yang serius tentang kewajiban meletakkan tanda harga baru dilakukan beberapa tahun kebelakangan ini. Di samping itu, tidak semua barangan diwajibkan untuk diletakkan tanda harga. Akta ini hanya mengawalselia barang-barang kawalan harga di mana setakat ini barang-barang yang diisytiharkan sebagai barang kawalan harga termasuklah kayu getah, gula, susu, garam, simen, tepung gandum, minyak masak, baja, ubat serangga, cuka getah, minyak tanah, bahan api diesel, gas petroleum cecair, roti dan ayam9.

Akta Kawalan Bekalan 1961 pula memperuntukkan kuasa menetapkan barang-barang kawalan bagi tujuan pemantauan dan pengawalan di pasaran. Akta ini bertujuan memastikan bekalan barangan tidak didominasi oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Akta ini juga hanya berkuatkuasa terhadap barang-barang kawalan sahaja. Keberkesanan Akta ini boleh dipersoalkan kerana ada penjual di kawasan luar bandar tidak mengikut peraturan yang ditetapkan dengan alasan kos pengangkutan yang tinggi dan kesukaran mendapatkan bekalan10.

Barang-barang yang dijual secara timbangan dan sukatan didapati perlu mengikut ketetapan dalam sistem unit antarabangsa (S.I.). Ini diperuntukkan di dalam Akta Timbang dan Sukat 1972. Menurut seksyen 17 akta ini, adalah menjadi satu kesalahan bagi peniaga yang memiliki alat timbang dan sukat yang palsu bagi tujuan untuk menipu. Seksyen 16 akta ini pula menetapkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi penjual yang menggunakan atau memiliki alat timbang dan sukat yang tidak mempunyai unit antarabangsa untuk tujuan perdagangan. Namun begitu, masih ramai peniaga yang tidak menggunakan sistem unit antarabangsa dalam menjual barangan mereka.

Akta Perihal Dagangan 1972 pula melindungi pengguna daripada ditipu oleh sebarang perihalan dan pernyataan palsu tentang barangan. Akta ini dan perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya adalah bertujuan melarang penggunaan perihal, pernyataan atau petunjuk palsu atau mengelirukan berhubung dengan barangan, perkhidmatan, tertinggal, kemudahan dan harga barang.

Bagi pihak-pihak yang terlibat dalam urusan sewa beli, Akta Sewa Beli 1967 diwujudkan bagi mengawal selia bentuk dan kandungan perjanjian sewa beli serta menggariskan hak dan tanggungjawab pihak-pihak yang terlibat dengan perjanjian sewa beli. Namun, ada peruntukan di dalam Akta ini yang kelihatan kurang jelas dan tidak diberi perhatian oleh golongan peniaga. Contohnya peraturan mengenai prosedur pengambilan semula (repossesion) barang masih tidak dipatuhi sepenuhnya oleh sesetengah peniaga yang secara sewenang-wenangnya bertindak ‘merampas’ kembali barang tanpa mempedulikan samada notis diberikan atau tidak kepada pengguna.

Oleh kerana perkembangan aktiviti jualan langsung yang begitu pesat, Akta Jualan Langsung 1993 pula digubal bagi menyelia aktiviti-aktiviti jualan langsung yang ada di negara ini. Akta ini hanya membenarkan urusniaga jualan langsung berlesen sahaja serta menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikat-syarikat jualan langsung di Malaysia. Masalahnya, kegiatan jualan langsung yang berleluasa terutama di kawasan bandar-bandar besar bukan sahaja mengabaikan peraturan yang ada, malah ada syarikat yang langsung tidak ada lesen untuk membuat jualan dari rumah ke rumah.

Akta terkini yang dikuatkuasakan oleh KPDN&HEP adalah Akta Perlindungan Pengguna 1999 di mana ia bertujuan melindungi pengguna dari amalan perniagaan yang tidak beretika berhubung urusan jualbeli antara peniaga dan pengguna. Akta ini seolah-olah dilihat sebagai akta yang lengkap bagi mengawal selia aktiviti perniagaan serta melindungi pengguna.

Kesemua akta yang diterangkan di atas adalah dikuatkuasakan di bawah KPDN&HEP. Namun begitu, dalam membincangkan tentang hal perlindungan pengguna dalam urusan jualbeli, Akta Jualan Barangan 1957 adalah akta utama yang perlu dirujuk kerana ia memainkan peranan yang amat penting walaupun tidak dikuatkuasakan oleh KPDN&HEP. Akta Jualan Barangan 1957 ini memperuntukkan beberapa terma tersirat dalam mengimbangi kuasa penjual dengan pembeli. Tanggungan yang dikenakan kepada penjual dalam terma tersirat ini akan melindungi pembeli dalam suatu transaksi jualbeli. Antara terma yang diperuntukkan dalam akta ini ialah barang yang dijual mestilah sama dengan perihalan yang ada, barangan mempunyai kualiti yang boleh dagang, barang yang dibeli boleh digunakan bersesuaian dengan tujuan ia dibuat serta pembeli boleh memiliki barang dengan aman.

Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan para pengguna mendapat perlindungan terutamanya dalam transaksi jualbeli. Seminar kepenggunaan, bengkel pengguna dan ceramah kepenggunaan dilakukan secara menyeluruh merangkumi sasaran bandar dan luar bandar. Namun begitu, ramai pihak berpendapat bahawa usaha ini masih tidak mencukupi dan kerajaan perlu menggiatkan lagi usaha-usaha sebegini kerana masih ramai yang tidak mengikuti program-program yang diatur oleh pihak berkuasa. Kerajaan perlulah mempergiatkan lagi usaha ini ke seluruh kawasan serta melantik lebih ramai kakitangan yang dapat memberi informasi kepada para pengguna.

Selain usaha-usaha berterusan ini, kerajaan juga menganjurkan Minggu Pengguna Malaysia di mana pada tahun 2002 ia diadakan pada 26 Julai hingga 1 Ogos. Pengisian yang berfaedah sepanjang minggu ini iaitu ekspo dan pameran pengguna dan seminar kepenggunaan seluruh negara akan menjadi suatu usaha yang sia-sia sekiranya rakyat negara ini tidak memberi sokongan dan menyertai aktiviti yang dijalankan.

Satu dasar yang menyeluruh berhubung pengguna dan amalan perniagaan iaitu Dasar Pengguna Negara dan Rukuniaga Negara Malaysia dijangka turut diperkenalkan oleh kerajaan bagi melahirkan masyarakat pengguna dan peniaga yang berkualiti11. Walaupun dasar ini masih baru diwujudkan, diharapkan dengan adanya dasar ini nanti, tahap perlindungan pengguna semakin baik seterusnya membantu perkembangan ekonomi yang lebih sihat.

Selain daripada usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak kementerian serta badan-badan pengguna yang ada di negara ini, para pengguna sendiri mestilah sedar akan tanggungjawab dan hak sebagai pengguna. Para pengguna dinasihatkan supaya tidak mengambil sikap menuding jari ke arah penjual atau peniaga sahaja. Pengguna haruslah melengkapkan diri dengan ilmu kepenggunaan dan mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi supaya dapat menjadi pengguna yang bijak seterusnya membanteras kegiatan tidak beretika peniaga-peniaga. Pengguna sepatutnya prihatin terhadap hak-hak asasi pengguna itu sendiri iaitu hak untuk mendapatkan keperluan asas, hak untuk memilih, hak untuk mendapatkan maklumat, hak untuk keselamatan, hak untuk mendapatkan gantirugi, hak untuk menyuarakan pendapat, hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna, serta hak untuk hidup dalam alam sekitar yang bersih.

Pengguna yang bijak juga dapat menggunakan kuasa beli yang terkawal serta tidak melakukan pembaziran. Sikap berjimat cermat serta membeli barangan mengikut kemampuan perlu ada dalam diri setiap pengguna. Amalan menabung juga perlu dilakukan oleh segenap lapisan masyarakat bukan sahaja kepada si kecil malah orang dewasa perlu meneruskan amalan yang mulia ini. Pengguna juga harus sedar tentang hak-hak mereka supaya tidak mudah tertipu dan teraniaya oleh golongan peniaga yang cuba mencari keuntungan secara mudah.


4. KESIMPULAN

Kesimpulannya, para pengguna sememangnya sentiasa terdedah dengan masalah kepenggunaan terutamanya dalam urusan jualbeli dan sering merasakan mereka masih tidak dilindungi. Namun begitu, fenomena ini boleh diatasi sekiranya semua pihak termasuk pengguna sendiri bekerjasama dalam meningkatkan tahap perlindungan pengguna di negara ini. Pengguna memainkan peranan penting dalam membantu perkembangan ekonomi negara. Boleh dikatakan seluruh rakyat Malaysia adalah pengguna, jadi sewajarnya perlindungan undang-undang diberi keutamaan dalam memastikan kepentingan pengguna tidak terjejas. Penekanan terhadap pelaksanaan undang-undang yang ada juga perlu dipertingkatkan supaya pengguna tidak teraniaya. Pihak penjual juga perlu lebih rasional dan bersifat mesra-pengguna bukan sahaja untuk memastikan hubungan yang baik dan adil dalam urusan jual beli, malah ia akan turut memberi keuntungan kepada mereka.

-----------------------

Footnote

* Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara, Pemenang Tempat Pertama Pertandingan Menulis Makalah Undang-Undang dalam Bahasa Melayu 2002

1 Lihat Kementerian Pendidikan Malaysia, Sejarah Dunia, 1991.

2 Mohd. Hamdan Hj Adnan, Kepenggunaan, 1987, ITM: Biroteks

3 J. Nickelburgh, Consumer Protection, Professional Book, 1979 4 seksyen 3 Akta Perlindungan Pengguna 1999

4 Seksyen 3 Akta Perlindungan Pengguna 1999

5 Mohd. Hazwan bin Mohamed Norli, Jualan Murah Dan Cara Untuk Mengawalnya, Buletin Perlindungan Pengguna, Bil. 6/200l.

6 Berita Harian, Kerajaan Patut Kaji Semula Ujian Tanda Halal - CAP, 12 Jun 1998

7 Mazlee Md. Ramli, Penggunaan e-niaga belum dieksloitasi sepenuhnya, Utusan Malaysia, Isnin, 8 Julai 2002

8 Utusan Malaysia, Lagi Wanita Jepun Mangsa Pil Kurus, 18 Julai 2002

9 Fakulti Undang-undang

10 Utusan Malaysia, Penjual Luar Bandar Tidak Patuhi Peraturan, 6 September 1996

11 Buletin Perlindungan Pengguna, Februari 2002.

Dipetik daripada Laman Web The Malaysian Bar
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
DealsFor.me - The best sales, coupons, and discounts for you
« Previous Topic · Info Pengguna, Perubatan & Kebajikan · Next Topic »
Add Reply

JUMLAH PENGUNJUNG (VISITOR) SETAKAT INI:
................................................................................................................................................................
My Topsites List Search Engine Submission & Optimization Search Engine Submission and Internet Marketing
................................................................................................................................................................