Welcome Guest [Log In] [Register]
BARU DIBUKA! Klik butang Like dan temui ribuan pengguna laman web ini.
Tawaran Iklan Di bawah Ini Akan Tamat Pada Bila-bila Masa:


Add Reply
Modul 1: Mengenal Sains (KBSR); Modul untuk Rujukan Guru & Pelajar
Topic Started: Sat Aug 6, 2005 11:05 am (10,501 Views)
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
[size=7]Modul 1: MENGENAL SAINS [/size]

Penerangan Ringkas Modul

Modul ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal tentang sains, teknologi dan kepentingan dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kefahaman guru-guru sains sekolah rendah.

Objektif

Selepas mengikuti modul ini anda sepatutnya dapat:

  • menerangkan sejarah perkembangan sains
  • menerangkan sains dan teknologi dalam perspektif yang betul
  • menjelaskan kaedah saintifik
  • menerangkan sikap dan etika sains
  • menyatakan peranan sains dan teknologi dalam pembangunan negara
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
MENGENAL SAINS: PENDAHULUAN

Sains dan Teknologi yang ada pada hari ini adalah hasil daripada perkembangan yang berlaku semenjak beribu-ribu tahun yang lalu melalui beberapa tamadun manusia. Ia merupakan daya usaha manusia memahami alam dan seterusnya berikhtiar untuk meningkatkan kesejahteraan hidup mereka. Setelah mengalami
perubahan yang begitu pesat mengikut keperluan masyarakat, peranan sains menjadi lebih kompleks dan kadang kala boleh menimbulkan kesan negatif. Petunjuk kemajuan sesebuah negara banyak bergantung kepada perkembangan sains dan teknologi. Justeru itu program pendidikan sains dan teknologi adalah penting dan perlu diberi penekanan yang sewajarnya bagi melahirkan warganegara seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020.


APAKAH ITU SAINS

Sains adalah cabang ilmu pengetahuan yang mempunyai banyak ciri dan perbezaan berbanding dengan disiplin ilmu yang lain. Sains boleh ditakrifkan dari pelbagai perspektif. Kamus Oxford (1983), mentakrifkan sains sebagai cabang ilmu pengetahuan yang melibatkan pemerhatian dan eksperimen yang bersistem terhadap fenomena alam semula jadi. Sains bermatlamat untuk membuat rumusan idea, penerangan dan pemahaman terhadap fenomena semula jadi.

John Ziman (1984), seorang ahli sejarah sains telah memberikan takrif sains yang berlainan mengikut aspek tertentu. Jika sains ditakrifkan sebagai alat untuk menyelesaikan masalah, ia memain peranan sebagai alat yang berhubung rapat dengan teknologi. Jika sains ditakrifkan sebagai pengetahuan yang terancang ia memperlihatkan ciri keilmiahan yang mana fenomena alam yang dikaji dan ditemui melalui penyelidikan diterbitkan dalam buku atau jurnal untuk bacaan umum. Pengetahuan ini mempunyai pengaruh yang kuat melalui penggunaannya dalam teknologi.

Dari aspek falsafah, tradisi sains menekankan kepada prosedur sains yang bersistem dalam menjalankan penyiasatan seperti membuat hipotesis, menjalankan eksperimen, menganalisis dan mentafsirkan maklumat, membuat kesimpulan dan membuat teori. Sains juga boleh dilihat dari aspek vokasional yang mana ahli-ahli sains menjalankan penyelidikan dalam masa lapang melalui kebolehan serta minat mereka. Cain (1990), melihat sains sebagai terdiri daripada empat komponen, iaitu hasil atau kandungan, proses atau kaedah, sikap dan teknologi. Sebarang program pendidikan sains seharusnyalah mencakupi kesemua komponen ini.
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
SEJARAH SAINS

Sains moden yang lahir daripada tamadun barat itu bukanlah suatu yang baru dan wujud tersendiri. Ia merupakan rantaian perkembangan sejak zaman dahulu daripada sains tamadun Mesir Purba, Yunani, India, China, Islam sehinggalah kepada zaman pertengahan di Eropah. Walau bagaimanapun setiap tamadun tersebut mempunyai ciri-ciri khusus dari segi bentuk dan falsafah.

Sains moden berbeza daripada sains zaman pertengahan dan juga daripada sains Islam dari segi falsafahnya. Sains moden tidak meletakkan ketuhanan sebagai sumber utama pemikiran, tetapi sebaliknya meletakkan akal manusia sebagai pusat yang mejadikan penentu segala-galanya. Akhirnya sains moden menganggap segala fenomena alam dapat dijelaskan melalui akal fikiran semata-mata dan tidak memerlukan pertolongan daripada Tuhan. Falsafah sains sebegini menjadi pegangan sebahagian besar ahli sains hari ini khasnya di Barat.

Kebanyakan sarjana Islam pada zaman kegemilangan, bermula dengan pengajian agama sebagai ilmu asas, seterusnya mempelajari dan menerokai ilmu-ilmu sains kemudiannya. Ibn Sina yang dikenali sebagai ahli falsafah al Quran sejak berusia sepuluh tahun. Begitu juga dengan sarjana Kristian pada zaman pertengahan dari segi pendidikannya juga telah menerima ilmu bersepadu kerana mereka rata-rata menerima pendidikan di biara. Copernicus pada mulanya belajar untuk menjadi ahli gereja yang unggul, tetapi kemudiannya terkenal sebagai ahli astronomi.

Antara tamadun besar manusia yang telah menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan sains ialah Tamadun Mesir Purba, Tamadun Yunani, Tamadun India, Tamadun China, Tamadun Islam, Tamadun Eropah Zaman Pertengahan, Tamadun Eropah Renaissance dan Zaman Revolusi Sains hinggalah ke hari ini.


SAINS MESIR PURBA

Tamadun Mesir Purba muncul sejak 3000 SM. Mereka memperkenalkan penggunaan rajah dan simbol dalam ilmu matematik. Konsep jam masa sudah pun wujud pada ketika itu. Satu hari dikira daripada permulaan naik matahari hingga naik matahari keesokan harinya. Teknologi mereka yang mengkagumkan manusia ialah teknologi binaan piramid. Setiap piramid dibina daripada bungkah batu kapur yang berat setiap satunya 2.5 tan. Untuk membina sebuah piramid, berjuta-juta bungkah batu kapur diperlukan. Piramid Khubu Siva dibina daripada 2.3 juta bungkah batu kapur.


SAINS YUNANI

Dalam perkembangan tamadun dunia, Tamadun Yunani telah dianggap oleh ahli sejarah Eropah sebagai tamadun yang amat penting. Tamadun ini menjadi salah satu unsur penting dalam Tamadun Barat. Sains Yunani melahirkan ramai ahli falsafah dan ahli matematik terkenal seperti Thales (624 - 565 SM), Pythagoras (580-500 SM), Plato (427 - 347 SM) dan Aristotles (384 - 322 SM).

Teorem Pythagoras merupa salah satu contoh yang digunakan sehingga hari ini. Archimedes (287 - 212 SM) pula merupakan seorang sarjana fizik yang termasyhur. Beliau dikenali kerana jeritannya Eureka!, Eureka! (Ku jumpa!) ketika beliau memperolehi ilham untuk menyelesaikan masalah bagi menentukan ketulenan
emas. Hippocrates yang dianggap sebagai bapa perubatan dikenang sehingga ke hari ini melalui angkat sumpah doktor sebelum mereka mengamalkan perubatan.

Idea tentang atom dipelopori oleh Leucippus dan Democretos. Idea ini seterusnya dikembangkan oleh John Dalton, seorang ahli sains barat dalam abad kesembilan belas.


SAINS INDIA

Tamadun India adalah antara yang tertua. Dari segi perkembangan sains terdapat dua zaman; Zaman Sulvasutra (800 - 300 SM) dan Zaman Siddhanta (selepas 300 SM). Antara contoh sumbangan tamadun ini ialah dalam bidang pembedahan. Mereka boleh membuat pembedahan mata untuk mengubati penyakit katarak.
Kewibawaan perubatan India terletak dalam empat kitab iaitu Caraka, Susruta, Atreya dan Vagbhata. Mereka juga telah melakukan pembedahan yang kita kenali sekarang sebagai pembedahan plastik apabila mereka menampal telinga seorang pesakit dengan kulit yang di ambil daripada tempat di badan pesakit itu. Perkembangan Tamadun India banyak dipengaruhi oleh Tamadun Yunani.


SAINS CHINA

Dalam sejarah China terdapat ‘Lima Buah Kanun’ dan satu daripadanya juga dikenali sebagai Yi Jin atau “Buku Tentang Pilihatur”. Dalam buku inilah diterangkan konsep Yang dan Yin atau prinsip Liang Yi yang menjadi asas kepada Sains China.

Orang China berpegang konsep Yang dan Yin dan Teori Lima Unsur apabila mereka menerang suatu fenomena. Yang dikaitkan dengan sifat kelelakian, panas, keras, terang, matahari, api dan sebagainya. Yin dikaitkan dengan kewanitaan, sejuk, lembut, gelap, bulan, air dan sebagainya. Teori Lima Unsur atau Wu Xing bererti lima kegiatan atau kuasa. Teori ini mengandaikan bahawa kebanyakan fenomena
berlaku dalam lima kategori, seperti lima warna (kuning, hijau, merah, putih, hitam), lima arah (timur, barat, utara, selatan, tengah) dan lima rasa (manis, pahit, pedas, masam, masin) atau lima unsur itu merujuk kepada air, api, logam, kayu dan tanah.

Pengetahuan mengenai kemagnetan telah ditemui pada zaman ini bagi membolehkan mereka mereka cipta kompas. Dalam bidang teknologi, Tamadun China telah mencapai kemajuan yang menakjubkan seperti dalam pembuatan kertas, mesin cetak, serbuk letupan dan teknologi binaan.
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
SAINS ISLAM

Antara pertengahan abad kelapan hingga permulaan abad ketiga belas, Tamadun Islam merupakan yang paling terkemuka serta mengatasi tamadun lain. Sarjana Islam mempelopori perkembangan dunia ilmu pengetahuan dan meningkatkan taraf ilmu yang diwarisi daripada tamadun sebelumnya ke tahap yang lebih tinggi untuk
diwarisi oleh tamadun berikutnya:

Sarjana Islam telah memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada tamadun dan perkembangan sains dunia. Mereka menggunakan AL Quran dan As Sunnah sebagai sumber rujukan utama dalam meneroka pelbagai bidang ilmu. Sarjana Islam juga memperolehi pengetahuan menerusi penterjemahan dokumen yang dihasilkan oleh tamadun sebelumnya bagi memantap dan memperkembangkan
bidang ilmu berkenaan. Peringkat pertama penterjemahan ditumpukan kepada ilmu yang boleh memberi penyelesaian kepada masalah kehidupan harian seperti perubatan, astronomi, dan kimia. Peringkat kedua penterjemahan mencakupi ilmu Mantik Yunani dan Matematik Hindu. Antara penterjemah yang terkenal ialah Hunnaim ibn Ishak (808 - 873M) Thabit ibn Qurah (834 - 901M) yang telah
menterjemahkan buku Element karya Euclid ke Bahasa Arab.

Salah satu sumbangan Tamadun Islam dalam Matematik ialah sistem nombor yang digunakan pada hari ini (1, 2, 3, .....9). Sarjana Al Khawarizmi (780 - 850 M) sentiasa diingati oleh ahli sains kerana sumbangannya yang besar dalam ilmu Aljabar dan bukunya Al Jabr Waalmuqabala sentiasa dirujuk. Al Battani mengemukakan kaedah pengiraan astronomi secara trigonometri. Kaedah ini sentiasa dirujuk oleh tokoh astronomi Eropah sehingga abad ke tujuh belas, seperti
Copernicus, Keppler dan Galileo. Bidang astronomi merupakan salah satu sumbangan Islam yang besar dan tinggi nilainya

Abu Bakar Mohammad ibn Zakaria al Razi (865 - 927 M) merupakan tokoh perubatan Islam yang agung. Karya beliau melebihi 200 judul. Antara penyakit yang pernah dikaji ialah campak dan cacar. Ibn Sina (980 - 1037 M) ialah tokoh falsafah, astronomi, matematik dan perubatan yang memberi sumbangan dalam bidang ofthalmologi. Karya perubatan beliau yang teragung ialah Qanun Fi al Tibb
(Kanun Perubatan) telah menjadi teks perubatan di universiti-universiti Eropah selama lebih kurang 600 tahun.

Para sarjana Islam telah memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada tamadun dan perkembangan Sains dan Teknologi hari ini. Hakikat ini jelas diperlihatkan dengan terdapatnya lebih daripada suku juta manuskrip sarjana Islam dalam perpustakaan-perpustakaan besar hari ini.


SAINS EROPAH RENAISSANCE

Renaissance ialah istilah bagi merujuk kepada gerakan menghidupkan semula semangat pembelajaran, seni dan kesusasteraan di Eropah pada abad keempat belas hingga ketujuh belas. Gerakan ini juga merujuk kepada permulaan aliran rasionalisme, yang meletakkan kebolehan akal manusia lebih tinggi daripada segalagalanya.Fenomena alam boleh diterangkan secara akal dan penjelasan berdasarkan hujah yang boleh dicerap dan dilihat sahaja dianggap rasional. Alam ini dianggap sebagai alam benda sahaja, tidak terdiri daripada alam ghaib atau roh.

Pada zaman ini terdapat kaum intelek yang menentang gereja sama ada atas dasar pegangan sains mereka atau kerana pegangan agama Kristian mereka berlainan daripada amalan gereja. Zaman Renaissance juga merupakan zaman penjelajahan dan penaklukan tanah jajahan baru di Afrika, Asia dan Amerika oleh kuasa-kuasa
Eropah. Penjelajahan ke benua baru ini memberi kesan yang mendalam terhadap pemikiran sains dan pemikiran Barat kerana pertembungan dengan budaya dan tamadun bangsa lain.

Antara tokoh terkenal zaman ini Leonardo da Vinci (1452 - 1516 M), yang bukan sahaja sebagai pelukis Mona Lisa, tetapi pemikiran sains beliau menyentuh bidang matematik, kejuruteraan dan fisiologi. Sumbangan Corpernicus (1473 - 1543 M) dalam bidang astoronomi tidak boleh dilupakan kerana beliau membuat pembetulan kepada teori Ptolemy yang menyatakan bumi sebagai pusat pergerakan cakerawala. Corpernicus berpendapat matahari adalah pusat pergerakan planet di angkasa.

Zaman Renaissance Eropah ternyata merupakan tempoh penting, yang menjadi permulaan kepada kemunculan revolusi sains pada abad kelapan belas. Ini diikuti kemunculan revolusi industri pada abad ke sembilan belas dan kedua puluh. Renaissance menandakan peningkatan kebangkitan Eropah sehingga zaman intelek Eropah meninggalkan pemikiran yang berasaskan pegangan ajaran gereja lalu membina kerangka pemikiran berlandaskan pemikiran rasional manusia.


SAINS MODEN

Satu perkembangan yang penting dalam bidang sains moden ialah pembinaan kaedah sains yang berkesan dan berjaya meletakkan sains ke tahap yang kita dapati sekarang. Perkembangan sains moden berlaku mengikuti kaedah sains yang dipelopori oleh beberapa tokoh abad ke tujuh belas seperti Descartes dan Francis
Bacon. Descartes menekankan kaedah induksi akal sementara Francis Bacon pula menggunakan kaedah deduksi untuk meningkatkan mutu sesuatu penyelesaian masalah sains.

Antara tokoh yang terkenal ialah Galileo (1564 -1642 M) seorang ahli fizik dan ahli astronomi yang agung. Kemampuannya membina teleskop berkuasa tinggi membolehkan beliau berjaya memerhati permukaan bulan dengan lebih terperinci dan menemui bulan di planet yang lain.

Isaac Newton (1642 -1727 M) ahli fizik ternama telah mengemukan Hukum Graviti yang boleh membantu ahli sains menyelesaikan masalah harian mereka. Di samping itu beberapa Hukum Newton yang lain juga telah menjadi asas yang penting dalam bidang fizik pada hari ini. Teori Atom Dalton walaupun bukanlah idea baru, tetapi teori tersebut membawa perkembangan pesat dalam bidang kimia pada abad ke sembilan belas.

Ringkasan sejarah di atas, sains yang kita kenali hari ini bukanlah kepunyaan sesuatu bangsa dan negara semata-mata, tetapi merupakan kepunyaan semua bangsa dan merentasi kepercayaan, warna kulit dan adat resam. Ianya diasaskan dan dibina atas tamadun-tamadun sebelumnya, terbit dari fitrah manusia yang
sentiasa meneroka dan memperbaiki mutu hidup mereka. Sebenarnya terdapat banyak lagi tamadun awal dan pertengahan dengan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi yang tinggi seperti yang terdapat di Asia Tenggara, Afrika dan Amerika
Selatan. Peninggalan tamadun-tamadun ini masih boleh dilihat sehingga kini.
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
SAINS MERANGKUMI PROSES DAN HASIL

Ahli sains berusaha untuk mencapaikan sesuatu matlamat yang membabitkan pengumpulan maklumat tentang fenomena alam semula jadi dan dirumuskan dengan cara bersistem. Pengetahuan ini diharap dapat membantu manusia memahami alam semula jadi dan seterusnya menggunakannya untuk meningkatkan mutu hidup mereka. Kaedah saintifik digunakan untuk mencapai matlamat tersebut yang melibatkan penggunaan pengetahuan yang sedia ada untuk membuat teori umum atau model yang mana kebenaran dan kesahihannya boleh diuji melalui penyelidikan dalam keadaan yang terkawal.

Pada masa lalu sains diajar dengan cara memberi fakta atau kumpulan maklumat yang tidak boleh dicabar kesahihannya. Ia menggambarkan sains sebagai kebenaran semata-mata, pada hal itu bukanlah imej sains yang sebenarnya. Pengetahuan sains sebenarnya diperolehi daripada hasil penglibatan masalah. Sebahagian daripada proses sains ialah mengenalpasti masalah, membuat hipotesis, menjalankan eksperimen, membuat inferens dan kesimpulan.

Merangka konsep, prinsip, hukum dan teori, iaitu hasil sains merupakan aktiviti utama. Jika prinsip atau hukum am diperolehi berdasarkan fakta tertentu, maka ahli sains menggunakan kaedah penaakulan induksi, iaitu daripada kes yang khusus kepada kes yang umum. Sebaliknya jika seseorang itu menemui sesuatu keadaan dan kesimpulan mengenainya dibuat berasaskan hukum am yang telah diterima, maka beliau telah membuat kesimpulan menggunakan kaedah penaakulan deduksi, iaitu dari kes umum kepada kes yang khusus. Sebagai contoh:


PENAAKULAN INDUKSI

Ahli sains melakukan eksperimen ringkas mengenai pemanasan logam besi, timah, tembaga dan beberapa logam yang lain. Mereka mendapati logam logam tersebut mengalirkan haba. Oleh hal yang demikian mereka membuat kesimpulan bahawa semua logam mengalirkan haba.


PENAAKULAN DEDUKSI

Jika pemansan dibuat terhadap beberapa bahan, ahli sains boleh menentukan yang mana boleh mengalirkan haba dan yang mana tidak. Dengan itu mereka boleh mengenal pasti yang mana logam dan yang mana bukan logam.

Dari perspektif ini bolehlah dirumuskan bahawa proses sains yang menghasilkan pengetahuan sains iaitu konsep prinsip, hukum dan teori adalah hasil sains yang amat penting. Justeru itu, peningkatkan perkembangan kemahiran proses di kalangan pelajar harus diberi penekanan yang sewajarnya. Adalah diharapkan dalam pengajaran dan pembelajaran sains guru memberi peluang di mana sesuai kepada pelajar untuk menjalankan aktiviti yang dapat mempertingkatkan lagi penguasaan kemahiran saintifik mereka.


FAKTA KONSEP, HIPOTESIS, PRINSIP, HUKUM DAN TEORI

Fakta, konsep, hipotesis, prinsip, hukum dan teori adalah kosa kata yang lazim dalam sains dan merupakan hasil daripada inkuiri saintifik. Berikut adalah penjelasan ringkas mengenai kosa kata:

Fakta ialah suatu peristiwa, kenyataan atau maklumat yang diketahui benar atau di anggap benar berdasarkan pemerhatian. Misalnya satu objek akan jatuh ke tanah apabila dilepaskan atau semua planet beredar mengelilingi matahari atau air tulen membeku pada suhu 0oC.

Konsep ialah idea, proses, fenomena atau gagasan yang mempunyai ciri sepunya. Mamalia adalah satu konsep dan beberapa fakta terbabit dalam merumuskan konsep ini. Mamalia mempunyai bulu badan dan menyusukan anak. Magnet terdapat dalam pelbagai bentuk dan saiz, tetapi semua magnet mempunyai kutub magnet.

Hipotesis ialah pernyataan umum yang difikirkan benar bagi menerangkan sesuatu peristiwa yang bersifat sementara dan boleh diuji. Melalui pemerhatian seseorang itu membuat hipotesis bahawa besi yang dicat tidak akan berkarat. Tetapi apakah ini sentiasa benar? Jika daripada beberapa pemerhatian didapati hipotesis tadi sentiasa benar dan tiada satu keadaan yang dapat menyangkal hipotesis ini, maka ianya bolehlah diterima sebagai suatu prinsip atau kebenaran asas. Membuat hipotesis adalah salah satu langkah penting dalam menjalankan penyelidikan sains.

Prinsip ialah pengitlakan mengenai perhubungan beberapa konsep. Prinsip dibina berasaskan kepada beberapa pemerhatian menerusi penaakulan induktif. Contohnya, udara mengembang apabila dipanaskan. Kejadian ini menunjukkan perhubungan di antara haba, udara dan pengembangan.

Hukum ialah prinsip yang dibuktikan benar dan diterima oleh ahli sains. Sungguh pun hukum dianggap sah pada sesuatu ketika tetapi tidaklah semestinya muktamad dan boleh digunakan dalam semua keadaan. Contohnya, Hukum Ohm yang mengaitkan beza keupayaan, arus dan rintangan di dalam suatu litar elektrik. Walau bagaimana pun hukum ini tidak sesuai digunakan dalam semikonduktor dan hukum ini perlu diubahsuai serta diperluaskan.

Teori adalah rangkaian fakta, konsep dan prinsip dalam pernyataan yang lebih luas untuk mengitlakkan secara sementara sesuatu kejadian, peristiwa atau fenomena. Ia juga adalah gambaran imiginasi ahli sains mengenai sesuatu kejadian atau fenomena. Teori boleh disahkan kebenarannya atau dibatalkan sahaja berdasarkan kepada dalil-dalil baru sama ada bersifat maujud atau mujarad. Sebagai contoh, pada awal abad kesembilan belas, John Dalton (1808) mengemukakan teori atomnya yang antaranya menyatakan bahawa atom tidak dapat dipecah atau dicipta. Pada ketika itu teori ini merupakan satu ejayaan besar dalam memecahkan kebuntuan ahli sains semenjak Tamadun Yunani dan Tamadun Islam untuk memahami struktur jisim. Dengan terciptanya peralatan baru yang lebih canggih, atom dapat dipecahkan dan seterusnya Teori Atom yang telah bertahan selama satu abad kemudian diubahsuai dan diperbaiki. Teori baru ini pula seterusnya mencetuskan pengkajian dan penerokaan lanjutan.
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
KAEDAH SAINTIFIK

Pada asasnya pengetahuan sains bersifat relatif dan sementara. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui segala-galanya. Sains hanyalah suatu wasilah untuk mencari kebenaran dan menghayati kebesaran Tuhan. Kemahiran saintifik seperti memerhati, mengelas, mengukur, membuat hipotesis dan mengeksperimen merupakan kemahiran yang penting untuk menjalankan penyelidikan saintifik dalam usaha mencari kebenaran tersebut.

Dalam tradisi disiplin sains, ahli sains sememangnya dilatih untuk menjalankan penyelidikan yang bersistem untuk memahami fenomena alam dan mencari kebenaran. Kebiasaannya langkah-langkah berikut diikuti semasa menjalankan penyelidikan saintifik, iaitu:

• mengenal pasti masalah
• membuat hipotesis
• mengumpul data
• menganalisis data
• mentafsir data
• membuat kesimpulan
• berkomunikasi

Hipotesis dibentuk berdasarkan kepada beberapa pemerhatian awal yang merupakan suatu telahan atau ramalan yang munasabah. Ahli sains hendaklah membuktikan bahawa hipotesisnya benar dengan cara mengumpul data untuk mencari dalil yang dapat membuktikan kebenaran hipotesis tersebut. Sebagai contoh, seorang pelajar membuat hipotesis bahawa semua gagak berwarna hitam”. Jika data yang dikumpulkan itu dianalisis dan didapati bahawa tiada seekor pun gagak berwarna lain selain daripada hitam, beliau boleh membuat kesimpulan bahawa semua berwarna hitam. Dapatannya ini boleh dilaporkan mengikut cara berkomunikasi yang lazim.



SIKAP SAINTIFIK

Antara sikap saintifik yang harus dimiliki oleh ahli sains adalah seperti berikut:

  • Pemikiran kritikal iaitu pemikiran yang sentiasa menyoal tentang bagaimana, siapa, di mana, bila dan mengapa serta sentiasa mencabar kesahihan sesuatu peristiwa.

  • Penangguhan keputusan iaitu memahami kekangan bukti-bukti mutlak bagi sesetengah pernyataan dan konsep sains.

  • Menghormati bukti sentiasa mencari bukti melalui kaedah empirikal.

  • Jujur iaitu melaporkan semua bukti dan mengakui sumbangan orang lain tentang sesuatu kajian.

  • Objektiviti iaitu berupaya membuat pertimbangan yang wajar terhadap kebaikan dan keburukan berpandukan bukti-bukti yang ada.

  • Kerelaan iaitu sanggup mengubah hipotesis, tafsiran, taakulan dan konsep apabila ada pandangan atau bukti lain yang lebih sahih.
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
ISU ETIKA AHLI SAINS

Walaupun pada zahirnya ahli sains bebas menjalankan sebarang penyelidikan mengikut minat dan kehendak mereka, hakikatnya mereka terikat kepada undang-undang dan peraturan yang tersurat atau yang tersirat. Mereka sedar terhadap norma-norma yang harus dipatuhi. Berikut adalah antara norma-norma menjadi panduan kepada ahli sains:


KEMASYARAKATAN

Sains ialah pengetahuan yang harus dikongsi oleh masyarakat umum. Ini menegaskan bahawa dapatan sains tidak seharusnya menjadi milik ahli sains individu sahaja. Dapatan sains hendaklah dikomunikasikan secepat mungkin kepada masyarakat umum dan ahli sains yang lain.


KESEJAGATAN

Sains menegaskan bahawa setiap dapatan hendaklah diberi wajaran berdasarkan kepada nilai intrinsiknya tanpa mengira kewarganegaraan, bangsa, agama, warna kulit, jantina, umur atau kedudukan orang yang menemui dapatan tersebut.


KEPENTINGAN ILMU DAN UMMAH

Sains diterokai untuk tujuan perkembangan sains itu sendiri dengan hasrat untuk memakmurkan ummah. Ini bererti ahli sains hendaklah melakukan penyelidikan mereka dan mempersembahkan dapatan mereka tanpa motif yang tersembunyi. Adakah norma ini dipatuhi oleh ahli sains hari ini?


KEASLIAN

Sains mengutamaan kajian dan penemuan baru. Kajian yang tidak menghasilkan dapatan yang baru tidak memberi sumbangan yang bermakna kepada sains.


KESANGSIAN

Ahli sains sentiasa menganalisis secara mendalam untuk mencari kemungkinan wujudnya kesilapan atau ketidaksahihan sebelum menerima sesuatu kenyataan atau pendapat.
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
APAKAH ITU TEKNOLOGI?

Irama dan lagu tidak dapat dipisahkan, begitulah juga dengan sains dan teknologi! Ada pendapat yang mengatakan teknologi lahir lebih awal daripada sains dan ada pula yang berpendapat sebaliknya. Yang pastinya kedua-dua saling berkaitan dan perlu memerlukan. Keupayaan manusia sebenarnya adalah terhad dan teknologi adalah daya usaha manusia untuk mengatasi had keupayaan tersebut. Manusia mereka cipta kaca mata untuk mengatasi had deria dan kecacatan penglihatan, dua insan yang berjauhan tidak boleh berbicara tanpa bantuan telefon. Kaca mata dan telefon adalah dua contoh hasil teknologi, tetapi telefon dan kaca mata tidak mungkin direka cipta tanpa pengetahuan sains.

Dalam konteks ini teknologi boleh dilihat sebagai aplikasi pengetahuan sains dalam mereka cipta alat-alat yang dapat meningkatkan keupayaan manusia. Teknologi pada asasnya telah wujud beribu-ribu tahun dahulu. Manusia di zaman batu mereka
cipta alat-alat daripada batu untuk memburu dan melapah hasil buruan. Manusia mereka cipta sampan untuk pengangkutan di air. Manusia menemui teknik mengawet untuk mengekalkan mutu makanan. Dengan penemuan baru dalam bidang sains teknik-teknik di atas diperbaiki dan menjadi semakin canggih serta berkesan. Dalam konteks yang lain, teknologi pula meningkatkan pengetahuan
sains. Penggunaan teleskop membolehkan ahli sains mengkaji alam semesta dengan lebih terperinci. Pelbagai penemuan telah dibuat dan tidak kurang juga yang mencabar kefahaman dan teori yang terdahulu.

Ahli sains dan ahli teknologi tidak semestinya mempunyai hasrat yang sama, tetapi mereka berkongsi proses dan hasil. Sebagai contoh, seorang ahli fizik dan seorang jurutera berusaha memahami kelakuan nukleus atom. Mereka mengambil kira pengitlakan saintifik (hasil sains) tentang nukleus dan mengganggapnya penting dalam usaha memahami perkara tersebut. Ahli fizik itu mungkin sedang berusaha membina suatu teori baru mengenai struktur nukleus manakala jurutera sedang mereka cipta reaktor nuklear yang lebih canggih.
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
SAINS, TEKNOLOGI DAN MASYARAKAT

Malaysia kini sedang mengorak langkah ke arah mencapai taraf negara maju dalam segala aspek menjelang Tahun 2020. Ada sembilan cabaran yang harus dilalui. Antara cabaran yang berkenaan ialah:

“Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan yang tinggi dan memandang ke hadapan yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa hadapan” (Malaysia: Melangkah Kehadapan)

Bagi mencapai wawasan ini beberapa langkah maujud haruslah diambil. Antaranya ialah:

  • Menyedarkan masyarakat tentang kepentingan sains dan teknologi dalam kehidupan harian. Ini boleh dilaksanakan menerusi media cetak dan elektronik. Penulisan serta penyampaiannya haruslah mudah difahami dan menarik.

  • Membina dan meningkatkan keupayaan sains dan teknologi watan demi mengekalkan daya saing di peringkat antabangsa. Keupayaan penyelidikan dan pembangunan hendaklah dipertingkatan.

  • Membina dan memastikan kesinambungan sumber manusia dalam pelbagai bidang sains dan teknologi dengan mempopularkan disiplin sains dan teknologi di kalangan pelajar.

  • Menjadikan sains dan teknologi lebih bermakna dan humanistik dengan mengaitkannya kepada ilmu-ilmu lain.

  • Meningkatkan literasi sains dan teknologi di kalangan masyarakat.
Menggunakan sains dan teknologi sebagai wasilah untuk mencapai kemajuan dan kesejahteraan hidup sudah menjadi agenda kebanyakan negara. Pada tahun 1993, International Council of Association for Science Education (ICASE) dan UNESCO telah melancarkan satu projek antarabangsa yang dikenali sebagai PROJECT 2000+ yang bermatlamat meningkatkan literasi sains dan teknologi untuk semua masyarakat negara anggota. Sungguh pun penganjur gagasan ini mengakui bahawa literasi sains dan teknologi mempunyai tahap yang berbeza mengikut umur, peranan, budaya serta tahap kemajuan sesebuah negara, namun terdapat teras
sepunya yang menjiwai literasi sains dan teknologi.

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam gagasan ini. Peranan dan kepentingan sains dan teknologi dalam mencapai hasrat menjadi sebuah negara perindustrian yang maju dinyatakan dengan jelas dalam dokumen tentang dasar pembangunan negara. Sehubungan dengan ini penghasilan tenaga manusia yang relevan amatlah penting. Menjelang tahun 2000, lebih kurang 180 000 pekerjaan baru berasaskan sains dan teknologi dalam pelbagai peringkat akan diwujudkan dan 83 % daripada jumlah ini adalah dalam bidang kejuruteraan. Adakah amalan pendidikan negara sekarang berupaya memenuhi permintaan ini?

Melentur aur biarlah dari rebungnya. Para pelajar kita hendaklah “dijinakkan” kepada bidang sains dan teknologi sejak dari awal. Pelaksanaan Sains Sekolah Rendah merupakan satu daya usaha ke arah itu. Pada prinsipnya pendidikan sains dan teknologi di peringkat sekolah memainkan dwifungsi. Pertama, memberi
pendidikan sains dan teknologi yang bercorak umum agar mereka menjadi warga negara yang celik sains dan teknologi. Kedua, memberi pendidikan sains yang bercorak khusus mengikut minat, bakat dan kebolehan sebagai asas untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang berkaitan. Walau bagaimanapun dari data yang dikumpulkan beberapa tahun kebelakangan ini, pola pemilihan mata-mata pelajaran elektif sains oleh pelajar di peringkat menengah atas agak merosot. Ini tentunya menimbulkan kerisauan di kalangan para pendidik dan pembuat dasar. Kita semua boleh memainkan peranan untuk mengubah pola ini!
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
MENGENAL SAINS: Rujukan

  • Alberta, Education Curriculum Support (1990) Monograph on STS Science Education Unifying the Goals of Science Education.

  • Barnes, B (1985). About Science. Basil Blackwell, UK.

  • Cain, S.E. (12990) Sciencing, An Involvement Approach to Elementary Science Methods. Merill Publishing Co. USA.

  • Carin, Arthur A. (1993) Teaching Science Through Discovery. Macmillam Publishing Co. USA

  • Cameron, I et. al (1979) Scientific Image and Their Social Uses. Butterworth Publication, UK

  • Fenshem, PJ (1990) What Will Science Education Do About Technology. The Australian Science Teacher Journal, Vol.36, No 3, pp 9 - 21

  • Malcom, C. et. al (1990). Technology and Science: Meaning and Educational Implication. The Australian Science Teacher Journal, Vol. 36, No.3, pp 23 - 27.

  • Mahathir bin Mohamad, Dr. YAB Perdana Menteri Malaysia (1991) Malaysia: Melangkah Kehadapan. Jabatan Percetakan Negara, K. Lumpur.

  • Pusat Perkembangan Kurikulum (1993). Strategi Peningkatan Penyertaan Pelajar dalam Mata-Mata Pelajaran Sains KBSM. Pusat Perkembangan Kurikulum, K. Lumpur.

  • Rithter, M. N. (1972). Science as a Cultural Process. Scherkman Publication Co. Massachusette.

  • Wan Fuad Wan Husasan (1990). Ringkasan Sejarah Sains, Dewan Bahasa dan Pustaka. K. Lumpur.

  • Ziman, J. (1985). An Introducation to Science Studies: The Philosophical and Science Aspects of Science and Technology, Cambridge University Press, U.K.
[/i]
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
Penilaian Kendiri

Sila uji kefahaman anda tentang modul ini dengan berpandukan kepada soalan-soalan berikut:

  1. Senaraikan tamadun-tamadun yang memberikan sumbangan besar terhadap perkembangan sains.

  2. Apakah perspektif yang betul mengenai sains dan teknologi?

  3. Senaraikan kaedah-kaedah saintifik.

  4. Senaraikan sikap dan etika yang perlu ada pada ahli sains.

  5. Pada pendapat anda apakah sumbangan sains dan teknologi dalam pembangunan negara?
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
Penasihat Penggubalan PuLSaR

Dr. Hanafi bin Mohamed Kamal

Pengarah Pusat Perkembangan Kurikulum
Kementerian Pendidikan Malaysia

Tn. Hj. Yusof bin Ngah (dari 16 FEBRUARI 1994)
Tn. Hj. Sa’ari Hasan (sehingga 15 FEBRUARI 1994)
Timbalan Pengarah 1
Pusat Perkembangan Kurikulum
Kementerian Pendidikan Malaysia

Datin Hjh. Aidah Abdul Ghani

Timbalan Pengarah II
Pusat Perkembangan Kurikulum
Kementerian Pendidikan Malaysia

Perancang Projek PuLSaR

Hj. Shamsuddin Ahmad

Ketua Penolong Pengarah
Pusat Perkembangan Kurikulum

Ahmad Hozi H.A. Rahman

Penolong Pengarah
Pusat Perkembangan Kurikulum

Azian T. S. Abdullah

Penolong Pengarah
Pusat Perkembangan Kurikulum

Rosli bin Suleiman

Penolong Pengarah
Pusat Perkembangan Kurikulum

Abd. Wahab b. Ibrahim

Penolong Pengarah
Pusat Perkembangan Kurikulum

Rohaida bt. Mohd Saat

Penolong Pengarah
Pusat Perkembangan Kurikulum

Ng Soo Boon

Penolong Pengarah
Pusat Perkembangan Kurikulum
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
Panel Penggubal
Pukal Latihan Sains Rendah (PuLSaR)



Ahmad Hozi H. A. Rahman Hj. Sulaiman b. Hj. Habib

Pusat Perkembangan Kurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan

Azian b. T.S. Abdullah Yahaya b. Moktaram

Pusat Perkembangan Kurikulum Jabatan Pendidikan Johor

Rosli b. Suleiman Zakaria b. Awang

Pusat Perkembangan Kurikulum Jabatan Pendidikan Terengganu

Abd. Wahad b. Ibrahim Hj. Abd. Ghani b. Mat

Pusat Perkembangan Kurikulum Jabatan Pendidikan Kelantan

Ng Soo Boon Amin b. Senin

Pusat Perkembangan Kurikulum Jabatan Pendidikan Sabah

Rohaida bt. Mohd Saat Kushan Keridau

Pusat Perkembangan Kurikulum Jabatan Pendidikan Sabah

Rohana bt. Mahmood Johara bt. Zen

Pusat Perkembangan Kurikulum Jabatan Pendidikan Sarawak

Abdul Zubir b. Abdul Ghani Kamarudin Yunus

Pusat Perkembangan Kurikulum Pusat Sumber Pendidikan Negeri, Kelantan

Hjh. Aminah b. Abdul Rahim Nasrudin b. Talib

Jemaah Nazir Sekolah , W. Persekutuan Pusat Pendidikan Negeri, Kelantan

Noor Shah b. Hj. Saad Mohd Safian Hj. Yunos

Bahagian Pendidikan Guru SRK Tengku Makmood Iskandar (2) Pontian

Tan Ying Kee Narajan a/l M. Kandasamy

Bahagian Pendidikan Guru SRK King Edward VII (1), Taiping

Lee Bao Ling Hj. Ismail b. Othman

Bahagian Sekolah Institut Perguruan Darulaman, Kedah

Abdul Ghani b. Abdullah Dr. Aminah bt. Ayob

Bahagian Sekolah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM

Abdul Aziz b. Abdullah Dr. Siow Heng Loke

Jabatan Pendidikan Perlis Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Chai Hock Beng Seth b. Sulaiman

Jabatan Pendidikan Kedah Fakulti Pendidikan, UTM

Khalid b. Ahmad Said bin Manap

Jabatan Pendidikan Pulau Pinang SEAMEO-RECSAM, P. Pinang

Zahidi b. Yusuf

Jabatan Pendidikan Perak
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post Goto Top
 
ZetaBoards - Free Forum Hosting
Enjoy forums? Start your own community for free.
Learn More · Register for Free
« Previous Topic · Info Sains & Teknologi · Next Topic »
Add Reply

JUMLAH PENGUNJUNG (VISITOR) SETAKAT INI:
................................................................................................................................................................
My Topsites List Search Engine Submission & Optimization Search Engine Submission and Internet Marketing
................................................................................................................................................................