Welcome Guest [Log In] [Register]
KLIK SINI: Buka Kedai Internet: Jana Pendapatan Dari Rumah - Pendapatan RM2000-RM5000 Seminggu!
Create a Meebo Chat Room
Bicara Akademik: Subjek UPSR+PMR+SPM ----- Radio Online: Radio ERA FM | Radio Hot FM | Radio IKIM FM
Peluang Buka Kedai Internet: Jana Pendapatan Dari Rumah - Jana Pendapatan RM2000-RM5000 Seminggu!
Viewing Single Post From: CONTOH FOLIO SEJARAH PENDUDUKAN JEPUN DI MALAYA
Dragonizer
Member Avatar
Administrator/Anggota SPTians
[ *  *  *  *  * ]
[size=6]CONTOH FOLIO ZAMAN PENDUDUKAN JEPUN DI TANAH MELAYU[/size]
Sumbangan carian: Zarith (Ibu Angkat Forum Dragonizer)
Suntingan: Dragonizer

PENGENALAN

Perang Dunia Kedua telah bermula di Benua Eropah pada 3 September 1939, apabila negara Jerman di bawah kepimpinan Hitler telah melancarkan serangan ke atas Poland. Sebelum itu pada 1936, Jerman (di bawah kepimpinan Hitler), Itali (Mussolini) dan Jepun (General Tojo) telah membentuk satu pakatan yang dikenali sebagai kuasa Paksi. Dalam pakatan tersebut Itali dan Jerman akan menguasai Eropah dan Afrika, manakala Jepun akan menakluki benua Asia.


GERAKAN TENTERA JEPUN

Sewaktu negara Eropah sedang bergelut dalam kancah peperangan, Jepun telah mengambil kesempatan tersebut dengan membuat perjanjian persahabatan dengan Kerajaan Siam. Perjanjian persahabatan yang telah ditandatangani pada Jun 1940 membolehkan Jepun meneruskan kemaraannya ke Asia Tenggara dan ini akan membolehkan Tanah Melayu di tawan dengan lebih mudah. Menyedari bahawa kemaraan tentera Jepun akan mengancam kedudukan tentera Berikat (yang terdiri daripada pakatan British, Perancis dan Amerika Syarikat), Amerika Syarikat telah mengadakan rundingan dengan Utusan Khas Jepun di Washington.

Walau bagaimana pun pada 7 Disember 1941 kapal terbang Jepun yang dianggotai oleh pengebom Kamikaze telah berlepas dari kapal pembawa kapal terbang di Pasifik, tanpa amaran telah menyerang dan mengebom Pearl Harbour, pangkalan tentera laut Amerika di Lautan Pasifik dan telah berjaya memusnahkan armada laut Amerika. Serentak dengan peristiwa tersebut, pada 8 Disember 1941 (7 Disember di Pearl Harbour kerana tempat tersebut terletak di Timur Garisan Tarikh Antarabangsa) jam 12.35 tengah malam tentera Jepun telah mendarat di Kota Bharu, Singgora dan Patani. Tentera Jepun telah meneruskan kemaraan mereka dan telah menawan Jitra dan mara ke Pulau Pinang dan menjelang 31 Januari 1942, mereka telah tiba di Johor Bharu. Pada 31 Januari 1942 seluruh Semenanjung telah jatuh ke tangan tentera Jepun kecuali Singapura dan akhirnya pada 15 Februari 1942 Leftenan Jeneral Percival telah menyerah diri tanpa syarat kepada Jeneral Tomoyuki Yamashita. Dengan penyerahan diri tersebut, Singapura turut jatuh ke tangan tentera Jepun.


KEJAYAAN TENTERA JEPUN

  1. Persediaan yang rapi

    Sebelum Jepun melancarkan perang ke atas Tanah Melayu, mereka telah membuat persediaan khususnya mengumpul maklumat penting berhubung dengan kekuatan pertahanan British, angkatan dan kelengkapan peperangan. Menyedari bahawa kubu pertahanan British di Singapura agak sukar untuk dimusnahkan, tentera Jepun telah menyerang Tanah Melayu dari arah belakang, iaitu melalui Kelantan yang tidak mempunyaipertahanan yang lengkap. Ini membolehkan pergerakan tentera menjadi lebih mudah dan dalam jangka masa yang singkat Tanah Melayu telah berjaya dikuasai.


  2. Penguasaan tempat yang strategik

    Jepun juga bertindak dengan menawan padang kapal terbang yang terletak di Kota Bharu, Alor Setar dan Taiping. Penawanan tempat strategik ini menyukarkan dan melemahkan pertahanan udara British. Serangan Jepun ke atas Melayu juga dilancarkan dengan pantas dan tersusun. Jepun telah menggerakkan pasukan tentera udara, laut dan daratnya dari pangkalan mereka di Indochina dan Siam.


  3. Lumpuhnya armada laut British

    Di samping menghancurkan pertahanan udara tentera British, Jepun juga telah berjaya menenggelamkan dua buah kapal perang Inggeris, iaitu Repulse dan Princeof Wales pada 10 Disember 1941 yang sedang belayar di Laut China Selatan berhampiran Kuantan bagi menghalang konvoi Jepun yang sedang menuju ke arah Selatan. Dengan tenggelamnya dua buah kapal perang ini, Tanah Melayu terdedah kepada serangan laut oleh tentera Jepun.


  4. Keberanian tentera Jepun

    Pasukan tentera ke-25 yang diketuai oleh Leftenan Jeneral Yamashita telah datang dengan semangat hidup atau mati bagi tujuan suci mereka. Semua tentera telah diarah menyediakan wasiat mereka. Di samping itu, tentera Jepun juga telah mempunyai pengalaman berperang selama bertahun-tahun di Manchuria dan telah mendapat latihan perang untuk berperang di kawasan Tropika.


  5. Pakatan dengan kerajaan Siam

    Pendaratan Jepun di Singgora merupakan sebahagian daripada rancangan untuk memujuk atau memaksa negeri Thai supaya bekerjasama dengan Jepun. Ini telah menyebabkan suatu Persetiaan Perikatan telah ditandatangani pada 11 Disember 1941. Ini seterusnya telah membolehkan pergerakan tentera Jepun untuk memasuki Tanah Melayu menjadi semakin mudah.


  6. Semangat tentera Berikat

    Pasukan tentera Berikatyang mempertahankan Tanah Melayu terdiridaripada lapan briged askar India, dua briged askar Australia dan dua briged sukarelawan Melayu. Pasukan tentera Berikat ini, khususnya lapan briged tentera India tidak mempunyai pengalaman berperang. Bagi memastikan tentera India yang mempertahankan Tanah Melayu hilang semangat untuk berperang, tentera Jepun telah menyebarkan dakyah bahawa Jepun mempunyai hasrat untuk membebaskan Asia termasuk India daripada cengkaman jajahan kuasa Barat,termasuk India. Ini telah menyebabkan tentera India yang berperang telah berpaling tadah dan memudahkan kemaraan tentera Jepun.


PENTADBIRAN TENTERA JEPUN

Dalam tempoh pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, iaitu selama 3 tahun 8 bulan telah meninggalkan kesan yang penting terhadap pentadbiran Tanah Melayu.

  1. Dalam bidang politik, Jepun telah menyatukan pentadbiran Tanah Melayu dengan Sumatera dengan ditadbirkan menerusi ibu pejabat mereka di Singapura. Bagi memastikan agar tidak berlaku pemberontakan sebuah lagi pasukan tentera telah dibentuk. Satu pasukan polis tentera yang dikenali sebagai ‘kempetei’ telah ditubuhkan bagi mengambil tugas polis.

  2. Sebuah mahkamah tentera ditubuhkan pada 1943 untuk membicarakan kes politik.

  3. Bagi mendapatkan sokongan rakyat, kedudukan raja-raja Melayu telah dikekalkan dan dijadikan penasihat berhubung dengan hal-ehwal agama. Mereka dijanjikan elaun sepertimana sebelum perang, walaupun bayaran tersebut tidak pernah dibuat sepenuhnya.

  4. Satu Majlis Penasihat Negeri telah ditubuhkan dengan keanggotaannya terdiri daripada wakil semua kaum. Sultan hanya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi atau penasihat kepada Residen Jepun yang menjadi pengerusi. Bagi mendapatkan sokongan penduduk Tanah Melayu, pelbagai pertubuhan kebajikan bagi kaum berlainan ditubuhkan tetapi tidak mendapat sokongan.

  5. Bagi memastikan agar Tanah Melayu terputus hubungan luar khususnya maklumat dari siaran radio pihak Berikat, Kerajaan Jepun pada Ogos 1942 telah membuat keputusan untuk mengharamkan simpanan ataupun penggunaan radio gelombang pendek. Pada September 1943, filem-filem kepunyaan musuh Jepun telah diharamkan penayangannya di Tanah Melayu. Pada Ogos 1944, muzik pihak musuh telah diharamkan daripada dimainkan atau disimpan. Pada Oktober 1944, tempat hiburan juga telah diharamkan.

  6. Bagi meraih sokongan pemerintah Siam tentera Jepun telah menyerahkan negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganukepada Kerajaan Siam.

  7. Dalam usaha untuk memastikan orang Melayu memberi sokongan kepada pemerintah Jepun, tentera Jepun telah membebaskan tahanan politik yang ditahan semasa pemerintahan British yang telah kembali menghidupkan pertubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaacob. Walaupun begitu, pihak Jepun telah mengharamkan KMM pada 1942 kerana gerakan ini mula menunjukkan sikap penentangan terhadap pemerintah Jepun.

  8. Di Tanah Melayu, Jepun telah menubuhkan Pentadbiran Tentera Pusat (CentralisedMilitary Administration) yang diketuai oleh Gunseikan atau Presiden yang bertanggungjawab kepada Pemerintah Tertinggi Tentera (Commander in Chief) bagi angkatan tentera kawasan ketujuh di Singapura. Pentadbiran awam berjalan dengan penyeliaan tentera. Tanah Melayu telah dibahagikan kepada lapan kawasan dan tiap-tiap kawasan diketuai oleh seorang Gabenor.


PENENTANGAN TERHADAP TENTERA JEPUN

Dakyah Jepun untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu dengan mewujudkan pemerintahan sendiri telah mendorong penduduk Tanah Melayu khususnya orang Melayu untuk memberi sokongan kepada kemaraan tentera Jepun. Sebaliknya apa yang berlaku ialah Tanah Melayu menjadi sebahagian daripada negeri jajahan Jepun. Di samping itu, penindasan tentera Jepun ke atas rakyat biasa telah menimbulkan kebencian terutamanya orang China. Beberapa hari selepas Jepun berjaya menawan Tanah Melayu, pihak Jepun telah melakukan pembunuhan secara beramai-ramai ke atas orang China.

Perasaan benci tentera Jepun ke atas orang China ini berakar umbi akibat peperangan China-Jepun di China yang telah bermula sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu lagi. Pemerintahan Jepun juga menghadapi tentangan daripada pegawai dan tentera Britishyang terpaksa berundur selepas mereka dikalahkan oleh Jepun. Bagi meneruskan penentangan terhadap tentera Jepun beberapa buah pertubuhan bawah tanah telah ditubuhkan. Mereka terdiri daripada pegawai tentera British yang diarahkan untuk meneruskan perjuangan menentang tentera Jepun, orang China terutamanya anggota Kuomintang dan komunis dan juga orang Melayu yang enggan tunduk kepada pemerintahan Jepun.

Mereka telah bergabung untuk menubuhkan suatu organisasi tentera dikenali sebagai MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army). Bagi membantu perjuangan MPAJA, pihak Berikat telah memberi bantuan dengan membekalkan senjata dan peluru yang digugurkan dari kapal terbang. Pada 1943, sekumpulan pegawai yang dikenali sebagai Angkatan 136 dari India telah dihantar untuk menyelaraskan tugas kumpulan penentang itu. Gerakan penentangan terhadap Jepun tidak dilakukan secara terbuka. Serangan dilakukan secara serang hendap dan gerakan dimulakan dari dalam hutan.


JEPUN MENYERAH KALAH

Detik kejatuhan Pakatan Paksi yang dianggotai oleh Jerman, Jepun dan Itali mula diperlihatkan selepas kekalahan Jerman pada 1944. Kemenangan ke atas Jerman telah menyemarakkan usaha tentera Berikat untuk meneruskan gerakan bagi menghancurkan kekuatan tentera Jepun di Asia. Pihak Berikat terutamanya British yang diketuai oleh Lord Louis Mountbatten sedang membuat persediaan besar di pangkalan perang mereka di India dan Ceylon untuk menyerang tentera Jepun di Tanah Melayu. Di samping itu, gerakan serangan juga dimulakan dengan pengeboman oleh Amerika Syarikat dengan menggunakan pesawat B 29 yang sentiasa menggugurkan bom di kubu pertahanan Jepun. Serangan secara berterusan ini telah menyebabkan kedudukan Jepun di Tanah Melayu semakin terancam.

Sewaktu tentera Berikat sedang menyusun gerakan bagi mendarat dan memerangi tentera Jepun di Tanah Melayu, dunia dikejutkan dengan peristiwa pengguguran Bom Atom di Hiroshima pada 6 Ogos 1945 oleh pesawat tentera Amerika yang telah mengorbankan berpuluh-puluh ribu nyawa manusia.Tiga harike mudiannya, iaitu pada 9 Ogos 1945, sekali lagi kapal terbang Amerika telah menggugurkan Bom Atom di bandar Nagasaki. Disebabkan kemusnahan dan ancaman berterusan daripada tentera Berikat, akhirnya pada 14 Ogos 1945, Maharaja Jepun telah menyerah kalah kepada tentera Berikat dan pengakuan menyerah kalah itu telah diisytiharkan ke seluruh dunia pada 15 Ogos 1945.

Seterusnya pada 2 September 1945 kerajaan Jepun telah menandatangani surat perjanjian menyerah kalah tanpa bersyarat kepada General Mac Arthur bagi pihak Berikat. Peristiwa ini kemudiannya diikuti dengan peristiwa yang berlaku pada 12 September 1945, apabila pemerintah tentera Jepun, iaitu General Itogaki bagi pihak Jepun telah menandatangani perjanjian menyerah kalah tanpa bersyarat kepada Lord Louis Mountbatten, pemerintah tertinggi Angkatan Tentera British bagi pihak tentera Berikat di bangunan Municipal di Singapura. Dengan perjanjian tersebut, Tanah Melayu telah diserahkan kembali dengan rasminya kepada British.


KEADAAN DI TANAH MELAYU SELEPAS PENGISYTIHARAN MENYERAH KALAH OLEH TENTERA JEPUN

Sewaktu Jepun membuat pengisytiharan menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, tentera bersekutu sebenarnya masih mengatur perancangan untuk menyusup masuk ke Tanah Melayu dan membuat serangan balas ke atas tentera Jepun. Sementara menunggu kedatangan tentera British untuk mengambil alih pemerintahan Tanah Melayu, askar MPAJA, juga disebut oleh orang Melayu sebagai Bintang Tiga, telah keluar dari tempat persembunyian mereka di hutan dan telah mengisytiharkan diri mereka sebagai pemerintah Tanah Melayu. Ini merupakan kesempatan terbaik bagi tentera Bintang Tiga, yang kebanyakan anggotanya ialah ahli Parti Komunis Malaya untuk membalas dendam dengan membunuh dan menyeksa orang yang dikatakan bersubahat dengan tentera Jepun.

Oleh sebab perbuatan kejam dan zalim tentera Bintang Tiga dan juga kerana hasutan mereka terhadap orang Cina, maka beberapa rusuhan dan pergaduhan kaum tercetus yang membabitkan orang Cina dan Melayu. Selepas hampir 2 minggu keganasan dan suasana huru-hara berlanjutan di Tanah Melayu, pada pertengahan September 1945, barulah pihak Britishtibadi Tanah Melayu dan menubuhkan pemerintahan sementara yang dikenali sebagai British Military Administration yang sedikit sebanyak dapat meredakan ketegangan di Tanah Melayu.

MPAJA ke mudianya dibubarkan dan pihak British kemudiannya memberi ganjaran kepada mereka yang berjasa menentang Jepun. Namun apa yang pasti tentera Bintang Tiga yang didalangi oleh Parti Komunis Malaya sedang mengumpul kekuatan bagi mengambil alih Tanah Melayu.


KESAN PENDUDUKAN TENTERA JEPUN DI TANAH MELAYU

  1. Politik

    Semasa pemerintahan Inggeris, wujud fahaman kebangsaan yang berjuang untuk membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman Inggeris. Pergerakan ini yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob, mempunyai matlamat untuk menyatukan Malaysia dan Indonesia dengan konsep Melayu Raya. Pada Mei 1937 pergerakan ini menubuhkan sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Kesatuan Melayu Muda. Menyedari bahawa pertubuhan ini akan mengugat pengaruh Inggeris, pada 1940 pemimpin pertubuhan ini telah ditangkap dan dipenjarakan. Sewaktu Jepun memerintah Tanah Melayu, kerajaan Jepun telah membebaskan pemimpin tersebut yang kemudiannya telah menubuhkan badan yang dikenali sebagai Pembela Tanahair (PETA).

    Walau bagaimanapun disebabkan aktiviti yang dijalankan oleh PETA tidak sehaluan dengan pemerintah Jepun, badan ini kemudiannya diharamkan. Namun begitu aktiviti PETA masih terus berjalan dan kemuncaknya pada 1945 Ibrahim Yaakob dan Dr. Burhanuddin telah merancang penyatuan Tanah Melayu dan Indonesia yang dikenali sebagai KRIS( Kesatuan Indonesia Semenanjung).Tetapi rancangan ini tidak sempat dilaksanakan kerana pemerintah Jepun telah menyerah kalah. Kejayaan Jepun mengalahkan Inggerisserta pengalaman orang Melayu memerintah Tanah Melayu yang diberikan oleh Jepun bagi mengisi jawatan yang sebelum ini dikuasai oleh pentadbir Inggeris juga telah berjaya membangkitkan kesedaran politik khususnya di kalangan orang Melayu. Disebabkan kesedaran politik inilah rancangan Inggeris untuk menubuhkan Malayan Union selepas berakhirnya pendudukan Jepun telah mendapat tentangan yang meluas daripada orang Melayu sehingga menyebabkan rancangan Malayan Union tidak dapat dilaksanakan.


  2. Ekonomi

    Sewaktu pemerintah Inggeris meninggalkan Tanah Melayu pelbagaiinfrastruktur asas telah dimusnahkan bagi memastikan penjajah Jepun menghadapi kesukaran untuk membangunkan dan menguasai ekonomi Tanah Melayu. Dalam usaha memulihkan ekonomi Tanah Melayu, pentadbiran Jepun telah memperkenalkan mata wang barudi Tanah Melayu. Walau bagaimanapun disebabkan pengeluaran mata wang yang tidak terkawal, inflasi telah berlaku di Tanah Melayu. Di samping itu, perdagangan import-eksport Tanah Melayu dengan dunia luar juga semakin lumpuh. Pengeluaran getah dan bijih timah telah terjejas teruk akibat peperangan. Pengangguran juga semakin ketara selain beberapa keperluan asas dan barang makanan semakin sukar diperoleh.


  3. Sosial

    Dalam usaha untuk menyemai sikap anti penjajah Barat, tentera Jepun telah menjadikan Bahasa Jepun sebagai bahasa pengantar di sekolah. Pendudukan Jepun juga telah mengamalkan sikap anti-Cina. Keadaan ini menyebabkan sebahagian daripada orang Cina telah melarikan diri ke hutan dan menyertai tentera MPAJA. Sebaliknya pada masa yang sama, ramai orang Melayu yang bekerja dengan tentera Jepun sebagai askar dan polis. Ini menyebabkan apabila berlakunya pertempuran antara tentera Jepun dengan MPAJA, maka pertempuran ini melibatkan orang Melayu dengan orang Cina. Keadaan ini secara tidak langsung telah memperlihatkan permusuhan antara orang Melayu dengan orang Cina. Pergeseran ini semakin buruk khususnya selepas Jepun menyerah kalah. Kesempatan ini telah digunakan oleh orang Cina yang menganggotai MPAJA untuk membalas dendam bukan sahaja kepada orang Melayu yang menganggotai tentera Jepun tetapi juga kepada orang Melayu yang lain. Lantas hubungan kedua-dua kaum tersebut menjadi renggang. Di samping itu, pendudukan Jepun di Tanah Melayu juga telah menyebabkan taraf hidup dan kesihatan penduduk Tanah Melayu semakin merosot dan pelbagai penyakit berjangkit telah merebak. Kesukaran untuk mendapatkan makanan yang berzat ditambah lagi dengan kemudahan perubatan yang terhad telah menjejaskan mutu dan tarafkesihatan penduduk di Tanah Melayu. Di samping itu, ramai rakyat Tanah Melayu telah dikerah untuk bertugas bagi membina landasan kereta api di antara Burma dengan Thailand, yang juga dikenali sebagai landasan keretapi maut.

RINGKASAN

  1. Tentera Jepun telah mara ke Tanah Melayu bermula pada 8 Disember 1941.
  2. Kejayaan tentera Jepun menawan Tanah Melayu dalam masa yang singkat berpunca daripada persediaan peperangan yang rapi, penguasaan tempat yang strategik, keberanian tentera Jepun dan semangat tentera Berikat yang semakin pudar.
  3. Tentera Jepun telah memperkenalkan beberapa perubahan dalam pentadbiran Tanah Melayu.
  4. Penentangan terhadap pendudukan Jepun dipelopori oleh MPAJA.
  5. Jepun telah menyerah kalah selepas Bom Atom digugurkan di bandar Hiroshima dan Nagasaki.
  6. Pemerintahan tentera (British Military Army) telah diwujudkan selepas Jepun menyerah kalah.
  7. Pendudukan Jepun telah menimbulkan pelbagai implikasi khususnya dengan menbangkitkan kesedaran politik penduduk Tanah Melayu untuk menentang penjajahan.
  8. Pendudukan Jepun juga telah menimbulkan ketegangan kaum khususnya antara orang
    Melayu dengan Cina.

RUJUKAN


  1. Ibrahim Mahmmod 1981. Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu. Pustaka Antara.
  2. Lotfi Ismail 1975. Sejarah Malaysia 1400–1963. Utusan Publications & Distributors.
  3. Negara Kita: Sejarah Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan 1982. INTAN.
  4. Zainal Abidin b.Abd W ahid 1971. Sejarah Malaysia Sepintas Lalu.
NOTA BUAT PARA PELAJAR: Isi kandungan di dalam topik ini masih boleh diperbaiki dan ditambah untuk melengkapkan lagi kejelasan objektif tugasan atau kerja kursus yang perlu disiapkan. Para pelajar dinasihatkan tidak meniru bulat-bulat contoh yang disediakan di dalam forum ini. :baby:
http://dukeamienerev.blogspot.com
Offline Profile Quote Post
CONTOH FOLIO SEJARAH PENDUDUKAN JEPUN DI MALAYA · Sejarah dan Geografi
JUMLAH PENGUNJUNG (VISITOR) SETAKAT INI:
................................................................................................................................................................
My Topsites List Search Engine Submission & Optimization Search Engine Submission and Internet Marketing
................................................................................................................................................................